Rintangan – Mengatasinya dengan tegas dan berdisiplin

Rintangan – Mengatasinya dengan tegas dan berdisiplin
Bersikap positif bukanlah sesenang percakapan. Dalam kehidupan sehari-hari, kita sentiasa menghadapi banyak rintangan tanpa diduga. Kehilangan orang yang dikasihi, menghadapi masalah kewangan ketika kita benar-benar memerlukannya, pertukaran guru yang disayangi, dan pelbagai masalah lain boleh menyebabkan pelajar secara tidak disedari menjadi seorang yang bersifat negatif.

Membina sikap positif boleh dilakukan jika kita membebaskan minda kita daripada perkara-perkara yang rumit.

Melihat sesuatu perkara dalam bentuk yang mudah, menggembirakan dan menyenangkan.

Dalam proses tersebut kita mungkin perlu melakukan pelbagai tindakan yang tegas dan berdisiplin.

Antaranya adalah seperti berikut:

Tugas utama sebagai pelajar ialah menentukan keputusan yang cemerlang dalam akademik di samping pembangunan diri. Jangan campuradukkan dengan pelbagai perkara yang boleh membawa kepada emosi yang tidak stabil.

Rakan yang bersikap negatif. Terdapat dua kemungkinan, sama ada anda dapat mempengaruhi atau anda dipengaruhi oleh mereka. Ada masanya kita perlu menghapuskan perhubungan seumpama ini bagi menjaga sikap positif yang ada pada diri kita.

Memastikan keseimbangan antara keperluan rohani dan jasmani. Jangan jadi ulat buku tanpa mengambil kira aspek-aspek lain. Penumpuan pada satu perkara boleh menimbulkan ketegangan mental dan fizikal. Yang lebih penting ialah sikap bersederhana dalam setiap tindakan.

Mengekalkan sikap positif merupakan aspek yang paling penting. Kita mungkin menjadi kecewa apabila rakan-rakan kita bersikap tidak menyokong dalam pergaulan sehari-hari.

Mungkin anda pernah dicop dengan pelbagai label, seperti, sebagai pelajar yang antisosial, `mat belia’ atau `tidak rugged’ atau mungkin dituduh sebagai pelajar yang kuat mengampu guru atau pensyarah.

Anda tidak perlu melawan atau membalas kalau dilabelkan dengan label yang bersifat negatif. Mungkin cara yang terbaik ialah dengan mencampakkan sikap positif anda kepada mereka.

Sikap yang bersahaja, melihat kata-kata negatif sebagai gurauan dan terus mendampingi mereka sehingga pada satu tahap tertentu memungkinkan mereka untuk berubah.

Banyak kejadian manusia boleh berubah apabila mereka mengenali kita secara lebih dekat.

Kata orang – tak kenal maka tak cinta.

Orang yang bersikap positif biasanya mempunyai lebih ramai kenalan, berbudi bahasa dan dapat melihat kejadian dalam bentuk yang luas dan berbeza. Rakan-rakan kita tentu sekali akan berasa iri hati dengan ketenangan, kesabaran dan kepintaran kita apabila berhadapan dengan sebarang masalah.

BERSEDIA MENGHADAPI MASALAH

Bersedia menghadapi masalah merupakan sebahagian daripada sikap positif yang perlu ditunjukkan oleh pelajar. Bagaimanapun, pengalaman kami sebagai pensyarah dan ketua kursus menunjukkan ramai pelajar yang datang berjumpa dengan membawa seribu macam persoalan yang dikatakan sebagai masalah.

Antara masalah yang diberitahu adalah seperti berikut:

Masalah keluarga

Masalah kewangan

Gagal dalam percintaan

Tidak gemar kepada pensyarah tertentu

Tidak bersefahaman dengan rakan sebilik

Kesukaran dalam mata pelajaran Matematik

Perkataan orang yang bijaksana itu menjadi bidalan, tetapi perkataan orang yang jahil semuanya menjadi kebosanan

Kalau dilihat secara sepintas lalu, kesemua senarai di atas merupakan masalah besar bagi pelajar. Seorang pelajar pernah memberitahu betapa beliau tidak berminat untuk belajar kerana teman lelakinya memutuskan perhubungan dengannya. Beliau bukanlah pelajar yang lemah malah keputusan sebelum kejadian tersebut menunjukkan keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Kaitan

Mengapa ramai orang tewas dan tersungkur dengan pelbagai masalah yang datang dalam kehidupan mereka? Salah satu sebab utama adalah kerana mereka mengaitkan masalah tersebut dengan perkara-perkara lain.

Kenapa perlu mengaitkan kehilangan teman istimewa dengan peluang untuk belajar? Kegagalan dalam perhubungan sesama manusia sepatutnya ditebus dengan mencuba untuk mendapatkan keputusan peperiksaan yang lebih baik.

Adakah anda mempunyai kebiasaan berikut?

Tidak membuat jangkaan

Terlalu memikirkan kesilapan

Memaksa diri secara keterlaluan

Tidak percaya pemikiran sendiri

Mendiamkan diri apabila tidak faham

Asyik mencari jawapan yang betul

Tidak mempunyai sistem mengingati idea

Menanti nasihat daripada orang yang dikenali

Kadangkala kebiasaan perlu diubah untuk mendapatkan kejayaan yang lebih cemerlang.

Apabila orang bertindak bijaksana, tidak seorangpun melihatnya.

Tetapi apabila orang berlaku tidak bijaksana maka semua orang akan mengetahuinya.

Dalam konteks inilah para pelajar yang berhadapan dengan pelbagai kemelut permasalahan perlu bercakap atau menghubungi seseorang yang anda boleh percayai.

Dengan berinteraksi dengan pihak ketiga ia boleh meredakan perasaan yang tidak ketentuan.

Saya juga sering bertanya kepada pelajar – benarkah anda menghadapi masalah dalam Matematik atau topik-topik yang tertentu sahaja.

Bagaimana teknik belajar anda? Berapa lama anda sudah mencuba soalan-soalan yang sukar? Pernahkah anda memaklumkan masalah ini kepada pensyarah?

Dengan soalan-soalan seperti ini, banyak membuka kepada permasalahan yang sebenar.

Akhirnya kenyataan yang mengaitkan dengan masalah tersebut hanya merupakan alasan kepada masalah dasar yang berterusan. Lazimnya, kebanyakan masalah pelajar berpusat kepada sikap dan perilaku pelajar itu sendiri.

Masalah yang tampak begitu sukar untuk dipecahkan sebenarnya mampu diselesaikan sendiri oleh pelajar. Persoalannya – adakah anda benar-benar jujur untuk mengatasi masalah yang menghantui diri anda?

Sebagai pelajar, anda boleh mengambil beberapa langkah tertentu bagi mengatasi masalah yang mungkin timbul. Umpamanya:

Berdoa untuk mendapatkan kekuatan

Bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan yang paling teruk. Penentuan kemungkinan ini amat penting bagi mencari alternatif yang lebih baik.

Cuba melihat permasalahan tersebut dari sudut yang berbeza (pemikiran positif)

Mengambil iktibar daripada pengalaman lepas

Cuba menilai semula segala kejadian yang menyebabkan permasalahan tersebut.

Berjanji kepada diri sendiri untuk tidak mengulangi perkara yang sama.

Menerima masalah tersebut dengan hati terbuka

Terdapat juga kaedah lain yang boleh digunakan bagi mengatasi masalah yang boleh diamalkan oleh pelajar. Kaedah ini biasanya dilakukan apabila pelajar sudah tidak mampu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi sendiri.

Antaranya adalah seperti, berhubung dengan ibu bapa dan keluarga terdekat, berbincang dengan kawan, bercakap dengan orang tertentu seperti guru, kaunselor atau pensyarah serta berehat dan bertenang buat sementara waktu.

Satu perkara yang perlu dihindari oleh pelajar adalah dengan mengelak daripada berhadapan dengan masalah tersebut. Sikap ini menggambarkan sikap pelajar yang enggan menerima kenyataan dan gagal mengawal perasaan.

Mereka biasanya mengambil langkah-langkah berikut:

1. Menyalah atau menyalurkan masalah tersebut kepada orang lain

2. Mengelak daripada berjumpa dengan orang

3. Enggan mempercayai apa yang telah berlaku

4. Cuba menghilangkan kerisauan dengan melakukan pelbagai perkara seperti makan, minum minuman keras, menghisap rokok ataupun mengambil dadah

5. Menyimpan perasaan kepada diri sendiri.

Hati orang yang bodoh berada di dalam mulutnya, tetapi mulut seorang yang cerdik berada di hatinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: