Tersepit antara cinta dua lelaki

Tersepit antara cinta dua lelaki
DALAM banyak e-mel yang saya terima, terdapat satu kiriman yang pada saya perlu diketengahkan untuk teladan masyarakat khususnya anak muda yang sedang dibuai cinta.

Bagi mendapatkan pengesahan tentang kes ini saya menelefon empunya diri seorang wanita muda berusia 23 tahun. Mendengar suara saya wanita ini yang menamakan dirinya Mas pada mulanya agak terkejut.

Setelah memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan saya menelefon, Mas mengeluh panjang.

“Apa hendak buat lagi kak, semuanya sudah menjadi bubur. Saya dalam keadaan tertekan dan tidak tahu hendak buat apa lagi sekarang. Tapi saya benar-benar menyesal dan ingin kembali ke pangkal jalan dan membina hidup baru,” katanya sebak.

Dengan izin Mas dan setelah maklumatnya lengkap, saya catatkan kisah Mas buat teladan kita bersama khususnya mereka yang sedang dilanda masalah yang sama. Elok kita berkongsi pandangan dan mengambil iktibar daripadanya.

Menurut Mas, ketika di sekolah dia rapat dengan seorang teman sekolahnya yang bernama Adi. Hubungan mereka sangat akrab walaupun tidak sampai ke tahap bercinta.

“Saya ingin berkongsi masalah saya dengan Kak Nor dan pembaca kerana tidak tahu pada siapa lagi saya hendak mengadu. Ibu bapa saya telah berpisah semenjak saya kecil dan seperti keluarga yang lain saya juga tidak lari daripada masalah keluarga. Tetapi saya tidak menyalahkan ibu bapa saya kerana berpisah dan saya jadi macam ini.

“Semasa bersekolah saya mempunyai kenalan rapat lelaki bernama Adi. Sebaik tamat peperiksaan tingkatan lima Adi mendapat tawaran menjalani latihan tentera atas dorongan dan galakan saya. Dia pergi tanpa menjanjikan apa-apa kepada saya walaupun kami rapat.

“Enam bulan setelah Adi tinggalkan kampung, saya mendapat kerja sementara di sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur saya berkenalan dengan seorang pemuda bernama Basri. Hubungan kami juga rapat. Saya jatuh cinta dengan Basri kerana dia selalu berada di samping saya dan mengambil berat akan diri saya.

“Berlainan dengan Adi yang juga sering menelefon tetapi sekadar menjadi pendengar kepada masalah dan cerita kehidupan saya. Sekalipun dia tidak pernah berkata yang dia suka pada saya tapi saya tahu dia ada menyimpan perasaan itu, tetapi saya pula tidak pernah bertanya,” kata Mas memulakan cerita.

Menurut Mas, dia amat senang dengan sikap Adi yang begitu mengambil berat dan menjadi pendengar setia setiap kali dia bercerita tentang kesusahan hidupnya.

Hubungan mereka, kata Mas, berterusan sehingga sekarang tetapi mereka jarang bertemu. Biarpun begitu, Mas menganggap Adi sebagai sahabat setia.

“Kini sudah dua tahun saya rapat dengan Basri. Saya telah menceritakan serba sedikit kisah Adi kepadanya, nyata dia tidak berapa suka setiap kali saya menyebut nama Adi,” ujar Mas.

Entah di mana silap dan kelalaian, kata Mas, dia dan Basri telah terlanjur. Menurut Mas, Basri berjanji akan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku. Biarpun ragu-ragu, kata Mas, dia terpaksa percaya.

“Saya tahu Basri memang sayangkan saya dan dia berjanji akan bertanggungjawab. Tetapi masalahnya dia muda daripada saya dan kerja dia pun tidak menentu. Hidup dia juga tidak ada hala tuju.

“Kerja dalam dua tiga bulan, lepas itu berhenti. Sepanjang tidak bekerja saya yang terpaksa menanggung makan minum, duit rokok dan minyak motor dia. Banyak kali juga saya terfikir untuk putuskan hubungan kami tapi Basri tidak mahu melepaskan saya,” tambah Mas.

Dalam pada menghadapi masalah dengan Basri, kata Mas, dia juga menghubungi Adi untuk berbual-bual dan bercerita kisahnya seperti masa lalu.

“Entah mengapa saya begitu selesa apabila dapat berbual-bual dan mendengar suara Adi. Baru-baru ini, semasa cuti hari raya, saya balik ke kampung dan berjumpa dengan Adi. Kami tinggal berdekatan. Kami juga keluar bersama ke pekan dengan pengetahuan keluarga masing-masing. Memandangkan saya akrab dengan Adi dan belum berkahwin, keluarga kami mencadangkan agar kami dijodohkan. Adi gembira tetapi saya menolak dengan baik. Bukan saya tidak suka kepada Adi tetapi sebab saya takut Adi tahu tentang diri saya.

“Seminggu selepas itu, Adi menelefon dan melamar saya. Katanya, dia sudah lama sayangkan saya tapi dulu dia takut hendak cakap sebab masih belum matang. Lagipun dia tidak ada kerja tetap ketika itu,” tambah Mas.

Mas cukup terharu apabila Adi berkata salah satu sebab dia masuk tentera adalah kerana dorongannya.

“Lalu saya memberanikan diri menulis surat kepada Adi untuk menjelaskan keadaan diri saya. Saya tidak mahu melukakan hatinya dan saya terpaksa berterus terang sebab saya amat menghormati dia,” cerita Mas.

Sebaik surat saya diterima Adi, dia terus menelefon saya dan berkata, biar apa pun terjadi, dia tetap akan sayang dan menerima saya seadanya.

Adi juga mengaku yang perasaan dan kasih sayangnya pada Mas tidak pernah berubah dan kalau boleh dia hendak Mas berhenti kerja di Kuala Lumpur dan mencari kerja di kampung.

“Kak, sekarang ini saya tengah bingung, apa keputusan yang perlu saya buat? Pada pendapat Kak Nor siapa yang harus saya pilih: patutkah saya tinggalkan Basri dan kembali kepada Adi?

“Saya sekarang hanya kasihan kepada Basri. Saya tahu saya tidak akan bahagia dengannya kerana latar belakang hidupnya yang tidak menentu. Jika saya tinggalkan dia, pasti hidupnya akan terumbang-ambing sebab dia tidak begitu dipedulikan keluarganya.

“Jika saya menerima Adi saya terasa malu. Perasaan saya berbelah bagi, saya berasa jijik dan rendah diri untuk hidup bersamanya. Bagi saya, orang yang baik-baik hanya untuk orang baik-baik. Bingung saya kak,” kata Mas menutup ceritanya.

Di hujung kata-katanya saya mendengar dengan jelas suara Mas yang sebak. Jika ditanya pandangan saya tentu sekali saya berharap Mas akan membuat pertimbangan yang wajar untuk menyelamatkan masa depannya.

Kepada Mas, saya katakan, dalam hidup ini kebahagiaan hanya boleh dicapai jika setiap pasangan mempunyai toleransi dan muafakat dalam mengharungi hidup. Dalam erti kata lain, persefahaman itu penting.

Orang tua-tua pernah berkata, dalam hidup ini yang penting kasih sayang. Harta benda dan kemewahan perkara kedua. Kata mereka lagi, memilih pasangan biarlah orang yang sayangkan kita, bukan orang yang kita sayang.

Saya berharap Mas akan merenungkan perkara ini dengan sebaik-baiknya dan membuat keputusan dengan bijak. Jika perlu buatlah sembahyang istiqarah agar diberi petunjuk.

Pada saya, keikhlasan Adi tidak perlu dipertikai. Sepatutnya Mas bersyukur kerana Adi masih sudi menerimanya dalam keadaan dirinya yang sudah terlanjur berbanding Basri yang hanya bergantung hidup kepada Mas. Lelaki begitukah yang hendak diharapkan untuk menjadi suami?

Pada saya, walaupun tidak pernah ada perasaan cinta tidak semestinya kita tidak boleh hidup bahagia. Cinta bukan perkara utama untuk ke jenjang pelamin. Cinta juga boleh dibina setelah menjadi suami isteri.

Penutup kata, nasihat saya kepada Mas, jangan jatuh cinta kerana kasihan sebaliknya di atas keikhlasan seseorang. Saya berharap kisah Mas ini akan menjadi teladan kepada kita semua.

Kepada remaja yang sedang melalui alam percintaan, hati-hatilah apabila berkawan. Batas kesopanan dan hubungan perlu dijaga agar tidak terjebak dengan perbuatan yang boleh menghancurkan masa depan.

Mengundur diri, pesanan saya, jangan menangis kerana kesilapan semalam. Sesungguhnya segala kesilapan itu tidak dapat mengembalikan apa-apa yang manis kecuali kamu memohon keampunan daripada-Nya untuk satu kehidupan yang lebih manis dan penuh bermakna.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: