Tragedi sebuah cinta

Tragedi sebuah cinta

JIKA anda seorang lelaki Malaysia, berusia 56 tahun, kaya, segak, bertenaga dan tidak beristeri, mahukah anda berkahwin dengan seorang janda berusia 57 tahun?

Awang yakin tidak. Di negara kita, jika lelaki yang sudah meningkat usia ingin berkahwin buat kali ke berapa sekali pun, dia tidak akan memilih wanita 57 tahun.

Bagi seorang lelaki yang sudah tidak muda lagi, memiliki isteri muda adalah suatu pencapaian, malah, satu kebanggaan. Dia akan jadi bahan ketawa jika mengambil seorang yang sudah berusia 57 tahun sebagai isteri, biarpun sebagai isteri keempat.

Sebab itu kita semua kena menghormati bagaimana Putera Charles mengabdikan cintanya kepada kekasih lamanya Camilla Parker Bowles yang bukan sahaja sudah berusia 57 tahun, tapi seorang janda beranak dua. Bagi Awang, inilah cinta sejati.

Ramai bertanya apa yang ada pada Camilla yang membuat Charles masih tergila-gilakannya walaupun dia sudah berusia 57 tahun. Pujangga sudah pun menjawabnya: Cinta itu buta; kecantikan terletak pada mata yang memandang. Sudah pasti mereka yang tertanya-tanya itu tidak nampak apa yang Charles nampak.

Andainya paras rupa adalah segala-galanya dalam memilih teman hidup, sudah tentu ramai daripada kita tidak akan dapat berkahwin, termasuklah Camilla. Tapi Camilla yang dianggap tidak cantik itu bukan sahaja pernah berkahwin, tapi akan berkahwin lagi. Dan kali ini dengan bakal raja.

Percintaan di antara Putera Charles dengan Camilla berputik pada tahun 1970. Ini bermakna cinta itu sudah berusia 35 tahun. Ini bermakna semasa mereka jatuh hati, Charles baru berusia 21 tahun manakala Camilla 22 – memang usia untuk jatuh cinta dan tergila-gila dengannya. Tapi selepas 35 tahun masih tergila-gila? Inilah kehebatan cinta mereka.

Sesungguhnya, menebalkan cinta bersama peningkatan usia merupakan satu seni yang tidak ada pada semua. Di Malaysia, amat jarang pasangan berusia 50-an berpegangan tangan bila berjalan. Atau, mungkin kerana ini bukan budaya kita?

Kini, Charles berusia 56 tahun manakala Camilla 57. Sejak bercerai dengan Puteri Diana, Charles hidup seorang diri dalam erti kata tidak berkahwin semula. Mungkin ada yang akan berkata ini kerana dia mempunyai Camilla di sisinya, sentiasa. Mungkin akan ada yang berkata dia mempunyai ramai teman wanita lain.

Selepas bercerai dengan Diana, Charles boleh memilih sesiapa sahaja untuk menjadi isterinya. Yang Awang kagumi dan kita semua patut kagum ialah kesetiaan cinta Charles terhadap Camilla yang sudah berusia 57 tahun itu. Dan Camilla pula bukanlah wanita cantik yang menjadi idaman seorang anak raja.

Bahawa Charles memilih untuk mengahwini Camilla yang dicintainya sejak 35 tahun itu adalah suatu yang luar biasa. Ini patut kita hormati.

Kegagalan Charles dan Camilla mendirikan rumah tangga pada masa itu dikatakan berpunca daripada campur tangan istana dalam cinta mereka. Istana Buckingham (atau lebih tepat Queen Elizabeth II, bonda Charles) tidak merestui hubungan mereka. Maka mereka tidak dapat berkahwin.

Apa yang kita sedang saksikan hari ini adalah sebuah kisah cinta yang biasanya terjalin dalam cerita dongeng purba kala seperti kisah anak miskin berkahwin dengan raja.

Awang percaya, jika boleh, Queen Elizabeth masih tidak mahu membenarkan Charles mengahwini Camilla. Masih menjadi tanda tanya sama ada Charles dapat menaiki takhta, suatu hari nanti. Bondanya juga melarang Charles daripada mengadakan kenduri besar-besaran. Baginda dilaporkan meradang dengan anaknya yang enggan mengadakan kenduri itu di istana.

Sebenarnya, apa yang berlaku di Istana Buckingham itu sama sahaja seperti apa yang biasa berlaku di kampung dalam masyarakat Malaysia bila ibu bapa hendak menentukan dengan siapa anak-anak mereka patut berkahwin. Dalam banyak masyarakat dunia perkahwinan yang diatur oleh keluarga masih satu kelaziman. Di negara kita perkahwinan suka sama suka sudah menjadi lumrah.

Ada yang tidak berkahwin atau berkahwin lewat kerana pilihan mereka tidak direstui ibu bapa. Cinta terpaksa ditolak tepi demi menjaga hati ibu bapa. Tapi ada juga yang tidak mempedulikan semua itu. Perkahwinan tidak direstui ini pun boleh kekal hingga ke akhir hayat. Perkahwinan yang diatur oleh keluarga juga belum tentu akan elok semuanya. Hakikatnya, risiko perkahwinan sama sahaja.

Perkahwinan Charles dengan Diana digambarkan bagai perkahwinan yang terbina di syurga – tiada cacat barang sedikit pun. Tiada apa yang tidak kena. Semuanya indah, penuh dengan kewangian. Diana keturunan bangsawan, cantik, menawan. Tapi akhirnya rumah tangga mereka hancur juga dan Charles kembali ke pangkuan seorang wanita yang sudah lanjut usia untuk mencari kasih sayang.

Begitulah halnya dengan perkahwinan dan kasih sayang; begitulah halnya dengan campur tangan ibu bapa; dan begitulah halnya bila manusia mengabdikan diri kepada cinta sejati. Charles dan Camilla telah membuktikan cinta lebih sering tidak mengikut hukum alam – tiada rasional. Maka tiada apa yang hendak dihairankan bila yang gemuk dan yang hitam menjadi rebutan; bila yang kurang berada dan yang cacat hidup lebih bahagia.

Sesungguhnya, perkahwinan dan perceraian serta masalah rumah tangga di kalangan keluarga diraja, rakyat biasa, yang miskin dan yang kaya, sama sahaja.

Kesimpulannya, kekayaan, kesenangan hidup serta kedudukan bukan jaminan kepada kebahagiaan hidup berumah tangga.

Apakah Charles, Diana dan Camilla mangsa kekayaan, kesenangan hidup dan kedudukan? Atau, mereka sekadar menjadi mangsa sebuah tragedi – tragedi cinta?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: