Lelaki hanya pandai lepak.

Lelaki hanya pandai lepak. Berborak berjam-jam di kedai kopi. Bila balik rumah hanya tahu nak makan. Tanggungjawab dan urusan rumah tangga semuanya bulat-bulat dilepaskan di bahu isteri.

Begitulah keluhan kaum hawa. Hampir setiap ketika bila soal tanggungjawab keluarga dibicarakan, ramai di kalangan kaum hawa akan menuding jari kepada kaum adam yang dikatakan tidak bersanggupan untuk sama-sama berkongsi urusan rumah tangga.

Itulah antara konotasi yang dilemparkan pada penulis, apabila cuba mengajak berbual dengan kaum hawa mengenai soal tanggungjawab serta erti etika rumahtangga yang harus dipikul secara saksama oleh suami dan isteri.

Mungkin ada benarnya apabila kaum hawa melemparkan sindiran sinis dan ungkapan pedas apabila mendengar suami yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan isteri hidup melarat dan terbiar dalam sketsa-sketsa rumahtangga dalam ruangan-ruangan di majalah mahupun akhbar-akhbar dewasa ini.

Tidak salah juga untuk menuding jari bagi kaum hawa, apabila mereka menempelak jauh terhadap kaum adam kerana dikatakan menjadi punca sebenar sehingga kaum adam sendiri dilabelkan sebegitu rupa.

Apakah sedemikian rupa fitrah untuk kaum adam, sehinggakan layak untuk digelarkan kaki melepak dan berborak sakan sepanjang masa sehingga tidak mampu dan kecundang dalam menguruskan urusan rumahtangga?

Apakah ini yang dikatakan sebagai gosip liar, sekadar rencah sosek-sosek dalam dunia kaum hawa atau ‘gebang’ kedai kopi?

Walau apa pun, satu realiti yang tidak boleh kita menafikan adalah dalam membina sebuah rumahtangga, mahu atau tidak setiap pasangan perlu memeliharanya secara bersama.

Rumahtangga yang bahagia terletak bukan hanya di bahu siisteri sahaja atau sisuami semata-mata. Bukan juga isteri yang menentukan bahagia atau tidak sebuah rumahtangga, Dan bukan juga suami yang memastikan institusi keluarga yang dibina itu kekal di tangannya semata-mata.

Sebaliknya, dalam mewujudkan rumahtangga yang bahagia – kebahagian terletak di bahu kedua-dua pasangan. Saling bekerjasama, faham memahami, bertolak ansur, hormat menghormati dan sanggup berkorban demi kebahagian sebuah institusi yang bergelar keluarga adalah ramuan terbaik dalam membina kebahagiaan keluarga.

Oleh itu, jika wujud segala nilai-nilai tersebut, maka pastinya agak sukar bagi kita untuk mendengar sosek-sosek yang mengatakan lelaki suka melepak. Tak pandai urus rumahtangga. Tidak bertanggungjawab. Dan segala yang tidak baik jika runtuhnya ikatan perkahwinan yang dibina atas dasar yang kukuh sebelum ini.

Begitu juga di pihak kaum hawa, berhemah dan sentiasa menggunakan akal yang waras dalam urusan rumahtangga sentiasa dituntut bukan sahaja dalam konteks kontrak sosial masyarakat tetapi juga dalam agama.

Tidak salah, sekiranya dalam kepenatan kaum hawa pulang ke rumah setelah bertugas dapat memaniskan peribadi dengan memberikan layanan lembut pada sisuami walaupun dengan hanya secangkir teh kosong.

Tidak salah, sekiranya bagi siisteri menunggu dengan solekan buat sisuami yang balik keletihan akibat ragam di pejabat sambil menyambut di muka pintu dengan seribu senyuman mewangi.

Dan tidak salah juga, sekiranya siisteri duduk bersama sisuami untuk sama-sama mendengar sejenak dua segala belenggu dan kebejatan yang dialaminya sepanjang beliau mencari nafkah di luar rumah.

Dalam situasi yang sebegini jugalah, sisuami pun sewajarnya tidak melupakan senyuman ikhlas setiap kali menatap wajah isterinya sambil membisikkan lembut ke telinga pasangannya betapa bertuah dirinya dapat mengenali seterusnya menjalani bahtera rumahtangga di samping isterinya yang bukan sekadar pandai menambat hati suami, malah memiliki nilai dan tanggungjawab yang tinggi.

Alangkah indah dunia rumahtangga, jika semua ini mampu kita lakukan. Namun, masa masih belum terlambat buat kita, sama ada yang bergelar isteri ataupun suami.

Rebutlah masa yang masih berbaki ini bagi terus mencari nikmat abadi dalam hidup bekeluarga. Masa berbaki yang ada di diri kita tidak selamanya abadi, kerana setiap yang datang tiada yang kekal selamanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: