“Kahwin misyar isu remeh-temeh”

Rencana

“Kahwin misyar isu remeh-temeh”

Mukadimah
KETUA Pengarah Institut Kefahaman Islam (IKIM), Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas cukup hairan melihat perbahasan yang hangat mengenai cadangan perkahwinan misyar yang berbangkit dalam Utusan Malaysia sejak Khamis lalu.

Sepanjang wawancara dengan wartawan NOOR AZAM SHAIRI di pejabatnya petang Jumaat lalu, beliau berulang-ulang kali bertanya apa mustahaknya ia dibahaskan sekarang ketika masyarakat Islam berhadapan dengan banyak isu lain yang penting.

Ketika tokoh-tokoh pembentuk pandangan umum terbelah dua antara menyokong dan membantah cadangan itu, Dr. Syed Ali Tawfik, 42, memberikan satu pandangan yang lain. Beliau merenung kepada punca cadangan dan bertanya apakah masalah-masalah itu dapat diselesaikan dengan perkahwinan misyar?

“Kita tidak tahu cara berfikir dengan betul. Kita hanya memikirkan soal nafsu,” katanya, yang bakal genap setahun menerajui pusat keintelektualan Islam itu, 1 Jun ini.

Syor perkahwinan misyar itu dilontarkan oleh pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid sebagai jalan keluar mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin. Ia juga dikatakan mampu mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

Dalam perkahwinan yang banyak diamalkan di kalangan wanita berkedudukan tinggi negara-negara Arab itu, suami tidak lagi perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir tetapi cukup hanya memenuhi nafkah batin isteri.

Presiden Persatuan Ibu Tunggal Malaysia, Maimunah Omar kuat menyokong cadangan itu. Beliau memberikan hujah berdasarkan kepada pengamatannya bergaul dengan wanita-wanita yang tidak kisah bersuamikan lelaki berpendapatan rendah.

“Kalau ini salah satu cara mengatasi masalah kesukaran wanita mendapatkan jodoh, kenapa kita perlu halang,” katanya dalam satu interviu bersama MARZUKI YUSOFF di Kuala Terengganu.

MINGGUAN: Apakah pandangan pertama Dr. mengenai cadangan itu?

DR. SYED ALI TAWFIK: Saya tertanya kenapa perkara ini dibesarkan sekarang, apa tujuan dan matlamatnya? Inilah yang mesti ditanya sebelum perkara sebegini dibawa ke persada masyarakat. Adakah isu ini patut dibahaskan sekarang? Ini hanya menunjukkan kekeliruan orang Muslim sekarang yang tidak tahu apakah perkara-perkara yang sewajarnya dibahaskan.

Cadangan ini dikatakan boleh mengatasi masalah wanita tidak berkahwin.

DR. SYED ALI TAWFIK: Kita harus bertanya adakah itu satu masalah atau sememangnya mereka memilih untuk tidak berkahwin? Hanya selepas kita tahu puncanya, barulah kita boleh cari penyelesaiannya. Wanita yang tidak berkahwin itu bukan hanya dalam lingkungan umur antara 18 hingga 35 tetapi juga kumpulan 35 tahun ke atas.

Secara amnya wanita 35 tahun ke atas itu sudah ada kerjaya sendiri, sudah mewah dan tidak memerlukan sebarang pertolongan. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat barubaru ini ada membuat kajian tentang hal ini. Menurut faham saya daripada membaca laporan tersebut, mereka ini tidak dapat mencari lelaki yang sesuai. Mereka mencari lelaki yang boleh menjaga mereka dengan cara yang mereka mahu.

Ia juga dikatakan mampu mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

DR. SYED ALI TAWFIK: Ini seolah-olah mahu mengatakan bahawa hanya perkahwinan misyar mampu menyelesaikan masalah maksiat dalam masyarakat tetapi bukan perkahwinan biasa. Ini seolah-olah menunjukkan kita menghalalkan perbuatan keji hawa nafsu kita, dan menggunakan Islam untuk menghalalkannya. Adakah wajar kita mempermainkan Islam begitu? Ini hanya melibatkan soal seks, soal nafsu.

Kenapa Dr. kata begitu?

DR. SYED ALI TAWFIK: Sebagai manusia, kita ada dua sifat dalam diri, haiwaniah dan rohaniah. Sifat haiwan itu perlu dalam diri manusia untuk mengekalkan kehidupan kita, makan, tidur, membuang air dan sebagainya. Dari segi rohaniah pula, dalam diri manusia itu ada tiga tingkat nafsu. Tingkat yang terendah ialah nafsu amarah iaitu dorongan jasmani yang juga dimiliki oleh haiwan. Isu ini memberi faham bahawa nafsu amarah itu telah menguasai kita. Kita telah membiarkan aspek haiwaniah dan nafsu syahwat mengawal hidup kita.

Tingkat nafsu yang lebih tinggi daripada itu ialah nafsu lawammah. Ia menunjukkan kita masih berusaha untuk mengawal aspek haiwaniah tetapi kita sudah boleh mengatasinya. Tingkat yang teratas ialah nafsu mutmainnah iaitu apabila kita sudah berjaya mengawal nafsu haiwaniah itu secara keseluruhan. Kita tiada lagi perasaan hendak berbuat maksiat. Inilah yang dikatakan jihad melawan nafsu. Dalam faham Islam, inilah kefahaman benar tentang jihad. Inilah jihad yang tertinggi, yang paling sukar untuk diatasi – lebih sukar daripada pergi berperang dan menuntut ilmu.

Jadi dalam hal ini, apakah yang telah kita lakukan? Kalau kita menggunakan alasan untuk membanteras maksiat, seolah-olahnya kita hanya mahu melepaskan nafsu. Orang akan berkahwin untuk menghalalkan perasaan mahu melepaskan nafsu. Apakah sebagai insan kita sudah lagi tidak boleh mengawal diri sendiri?

Kita boleh mengawal diri, dan itulah yang membezakan insan dengan haiwan. Martabat kita lebih tinggi daripada haiwan tetapi kita melakukan perkara-perkara yang dilakukan oleh haiwan tanpa rasa bersalah sebaliknya, dengan akal fikiran kononnya kita cuba menghalalkan perbuatanperbuatan yang kita tahu hanya untuk melepaskan nafsu. Lagi pula adakah dalam hukum-hukum hendak berkahwin yang mengatakan perkahwinan itu adalah untuk melepaskan nafsu? Tidak, ia bukan satu daripadanya. Itu tidak termasuk dalam matlamat perkahwinan.

Apakah tuntutan perkahwinan?

DR. SYED ALI TAWFIK: Islam menuntut keadilan. Kalau hendak berkahwin, seseorang itu harus ada tanggungjawab. Ada tanggungjawab, baru berkahwin. Perkahwinan misyar ini sebaliknya mahu melepaskan tanggungjawab. Apa gunanya? Sebagai contoh, kalau seseorang itu mahu membeli kereta dan memandu di jalan raya, dia mesti terlebih dahulu belajar memandu dan mendapatkan lesen; bukannya beli kereta dahulu, bawa kereta dan selepas itu ambil ujian memandu.

Ini samalah juga dengan soal kahwin; harus minta izin daripada wali yang akan memastikan sama ada lelaki itu beramanah, bertanggungjawab, mampu berlaku adil kepada isteri dan keluarga atau tidak.

Apakah matlamat perkahwinan?

DR. SYED ALI TAWFIK: Untuk melengkapkan kehidupan manusia. Ada hadis yang mengatakan bahawa wanita itu adalah kembar kepada lelaki. Kalau begitu, apabila wanita dan lelaki itu bersama mereka menjadi satu. Perkahwinan juga digalakkan untuk melengkapkan Islam seseorang itu. Ini bukan bermakna seseorang yang tidak berkahwin, Islamnya tidak lengkap. Perkahwinan bukan sesuatu yang diwajibkan tetapi hanya digalakkan.

Sebelum ini, orang membangkitkan soal poligami. Itu pun satu lagi. Kenapa kita membahaskannya sekarang? Adakah sampai majoriti daripada masyarakat kita berpoligami? Saya membaca dalam akhbar tentang seorang lelaki yang berkahwin tiga kerana katanya, nafsunya tinggi sangat dan dia mahu mengelak daripada zina. Adakah itu tujuan perkahwinan, untuk melepaskan hawa nafsu? Perkahwinan bukan hanya untuk seks.

Perkahwinan adalah untuk menyambung zuriat, menjadi bertanggungjawab dan menyambungkan ilmu kepada generasi yang akan datang. Saya tidak faham kenapa orang Islam sekarang membangkitkan perkara-perkara yang tiada kaitan langsung dengan hal-hal ini, yang remeh-temeh, yang mengundang kebimbangan dan kekeliruan kepada masyarakat. Ini sangat tidak baik.

Ini bukan peranan ulama. Ulama diangkat menjadi ulama kerana dia mampu membawa masyarakat kepada jalan atau faham yang bermakna. Jika masyarakat itu dibawa kepada kekeliruan, itu bukan ulama namanya. Tetapi dalam laporan itu Prof. Dr. Mahmud Zuhdi ada mengatakan jika perkahwinan misyar ini diamalkan hendaklah dibuat dengan jujur dan tidak disalahgunakan untuk menganiaya kaum wanita. Hal ini mesti ditekankan kerana saya khuatir ramai orang tidak membaca hal itu, hanya baca separuh saja.

Perlukah perkahwinan misyar ini dibenarkan?

DR. SYED ALI TAWFIK: Tidak perlu langsung. Apa yang mesti dititikberatkan ialah penyelesaian kepada isu sebenar yang kita hadapi. Mereka yang menyokong hujah itu mengatakan kaum wanita muda sukar mencari lelaki bujang yang berkualiti kerana banyak lelaki Melayu terlibat dalam penagihan dadah atau gejala sosial lain.

Kalau itu masalahnya, kita selesaikanlah masalah itu dahulu. Salah satu sebab lain kenapa wanita tidak mahu berkahwin ialah kerana tidak ada calon yang sesuai. Dalam perkahwinan mesti ada kufu (dari segi pendirian, pemahaman agama dan keturunan). Itulah sunnah Nabi. Tidak bolehlah kalau lelaki itu seorang jaga tetapi wanita itu puteri raja; tidak sekufu dan hanya akan mendatangkan masalah.

Tetapi orang kata cinta itu buta?

DR. SYED ALI TAWFIK: Bagaimana cinta boleh buta? Itu pemikiran Barat yang keliru antara cinta dengan nafsu dan berahi. Dalam Islam, apabila kita bercakap tentang cinta ia tidak semestinya bermaksud habb (cinta sesama manusia). Ada kalanya ia bermakna asyq (cinta kepada Allah). Itu tingkat cinta yang sangat tinggi, keasyikan. Kalau cinta itu buta, bagaimanakah kita merasakan cinta? Kalau asyq itu buta, adakah kita mahu mengatakan Tuhan itu buta? Bukankah sifat-sifat Allah itu Maha Melihat, Maha Mengetahui dan sebagainya?

Apakah yang Dr. rasa melihat perbahasan hal ini?

DR. SYED ALI TAWFIK: Saya sangat sedih dengan nasib orang Islam kerana inilah perkara yang suka mereka bahaskan. Ini isu yang tidak berbaloi untuk dibahaskan. Kalau cadangan ini benar-benar wujud, kita mesti lihat apakah keadaan zaman yang membenarkannya dan apakah ia boleh dipakai dalam keadaan sekarang? Hal ini tidak ada pada zaman Rasulullah, ia datang kemudian.

Sebagai contoh, pada akhir kurun ke-19 misalnya, mufti di Mesir mengharamkan kopi kerana remaja di Mesir suka membuang masa siang malam bermain backgammon, sambil merokok dan minum kopi sehingga mengabaikan solat. Pengabaian kepada solat itu yang membuatkan mufti mengharamkan kopi untuk menakutkan mereka, bukan kerana kopi itu sendiri.

Dalam hal ini, kalau kita tidak tahu keadaan yang menyebabkan perkahwinan misyar itu dibenarkan dahulu, kenapa kita harus membahaskannya? Adakah kita betul-betul memerlukannya? Saya tidak fikir begitu. Ia seolah-olah mahu mengatakan bahawa perkahwinan biasa tidak mencukupi dan kita memerlukan misyar kerana ia melepaskan tanggungjawab. Mufti Johor, Datuk Noh Gadot baru-baru ini ketika mengulas isu suami tidak bekerja juga menekankan tentang tanggungjawab suami sebagai penyara keluarga. Beliau bukannya mengatakan wanita dilarang keluar bekerja.

Adakah isu ini juga telah disalah tafsir?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ini bukan soal salah tafsir. Isu ini tidak sepatutnya dibangkitkan pun. Ada banyak lagi isu lain menyentuh orang Islam. Kadar perceraian di kalangan orang Islam meningkat. Kes perceraian di mahkamah juga banyak yang belum diselesaikan; ada kes sampai 15 tahun tidak selesai-selesai. Remaja Muslim banyak yang ponteng sekolah dan di universiti, wanita lebih ramai daripada lelaki. Wanita lebih berminat mencari ilmu berbanding lelaki.

Inilah isu-isu yang sepatutnya kita lihat. Ini tidak, kita tidak cuba menyelesaikan masalah sebaliknya mencetuskan lebih banyak masalah.

Apakah yang ditunjukkan oleh isu ini tentang keadaan kita?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ia menunjukkan kita sangat jahil. Laporan seperti ini hanya membesarkan ketandusan pemikiran kita. Kita terkebelakang, tidak tahu isu sebenar dalam masyarakat Islam pada hari ini. Kita ada krisis dalam hal ini. Kami di IKIM selalu menyuarakan bahawa masalah umat Islam pada hari ini ialah kekurangan ilmu. Isu perkahwinan misyar ini, kepada saya, perkara remeh-temeh.

Kalau kita selalu menyempitkan faham Islam hanya kepada hukum, halal dan haram, kita akan jadi seolah-olah macam orang Yahudi Talmud yang menginstitusikan hukum; semuanya hukum, hukum dan hukum sehingga tiada ijtihad. Ini yang orang Islam sudah buat sejak sekian lama iaitu menutup pintu ijmak dan ijtihad. Kita bukan saja tutup tetapi kita kunci.

Kalau orang melihat ini proses untuk ijtihad?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ijtihad hanya untuk perkara-perkara yang ada keperluannya dan kalau ada matlamat yang jelas. Kalau tidak ada matlamat, bagaimana hendak berijtihad. Dalam hal ini, apa niatnya? Kalau niatnya mahu mengurangkan masalah wanita tidak berkahwin, kita cari dulu puncanya kenapa mereka tidak berkahwin. Bagi wanita yang berumur 18 hingga 35 tahun, hujahnya ialah banyak lelaki terlibat dengan penagihan dadah dan tidak sekufu kerana wanita lebih tinggi kedudukannya daripada lelaki. Jadi, ini masalah remaja lelaki, bukan wanita. Kenapa lelaki melepaskan tanggungjawabnya, tidak mahu meningkatkan diri sendiri? Ini menunjukkan ada kehampaan dalam diri mereka.

Apakah kita patut hentikan perbahasan ini?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ya. Kita harus berbincang isu-isu yang sebenar. Isu ini langsung tidak membantu perkembangan ummah. Bahawa dengan membangkitkannya saja, akhbar saudara sudah menyebabkan orang keliru. Ada yang mengatakan perkahwinan misyar itu boleh dijadikan jalan keluar kepada masalah ibu tunggal. Apakah masalah mereka? Kalau tidak ada pendapatan dan tidak ada kerja, kita perlu bertanya apakah yang dilakukan oleh badan-badan kebajikan Islam untuk membantu ibu-ibu tunggal?

Maksud Dr. masalah yang menjadi punca kepada cadangan itu ada jalan penyelesaian lain, dan bukan perkahwinan misyar?

DR. SYED ALI TAWFIK: Ya, itu maksud saya. Apabila kita mengatakan sesuatu itu sebagai puncanya, kita mesti membahaskannya dengan hujah yang sah dan kukuh. Mereka mungkin ada hujah yang sah tetapi tidak kukuh. Hujah yang sah tetapi tidak kukuh tidak boleh dijadikan hujah. Apa-apa saja hujah boleh menjadi hujah yang sah tetapi ia tidak semestinya kukuh.

Itu sebabnya kalau isu ini mahu dibangkitkan, kita harus bertanya apakah kita memang ada masalah sehingga memerlukan kepada penyelesaian ini? Saya pun mahu tahu berapakah jumlah wanita yang tidak berkahwin, dan adakah mereka mahu kepada perkahwinan misyar? Adakah mereka meminta ia dibenarkan? Adakah mereka mahu berkahwin dengan lelaki yang tidak perlu ada tanggungjawab, yang tidak payah membayar nafkah? Nafkah itu wajib, bukan sesuatu yang harus. Bolehkah lelaki mengelak daripada bertanggungjawab?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: