“Kalau boleh selesai masalah, kenapa halang?”

Utusan 28 Mei 2006
“Kalau boleh selesai masalah, kenapa halang?”
MINGGUAN: Apa reaksi awal Puan?

MAIMUNAH: Perkara ini sebenarnya telah lama bermain-main dalam fikiran saya. Saya lihat ia banyak berlaku kepada kenalan wanita, saudara-mara dan ahli keluarga saya sendiri yang berkahwin dengan suami berpendapatan rendah daripada mereka. Hal ini juga berlaku kepada dua anak perempuan saya yang berbahagia dengan rumah tangga masing-masing. Mereka semua memberitahu saya bahawa soal pendapatan suami tidak penting tetapi apa yang mereka mahukan adalah perlindungan daripada lelaki yang matang dan bertanggungjawab.

Adakah masalah wanita yang sukar mendapat jodoh sehingga menjadi andartu begitu serius sekarang?

MAIMUNAH: Sekarang mungkin belum sampai ke tahap itu tetapi berdasarkan apa yang saya baca dalam buku Hamka, pada dunia akhir zaman, nisbah wanita kepada lelaki ialah 50:1. Pada zaman itu, ujian yang kita hadapi membabitkan wanita yang sukar mendapat pasangan akan lebih besar.

Persoalan yang perlu ditanya apabila sampai ke tahap itu, sanggupkah keluarga membenarkan poligami; sanggupkah keluarga menerima menantu berpendapatan rendah; sanggupkah kita ada anak-anak perempuan yang tidak berkahwin sepanjang hayat?

Sekarang ini pun ramai wanita yang berpendidikan tinggi dan berkarier semakin sukar mendapat jodoh kerana susah mendapat lelaki-lelaki yang ‘berkualiti’. Kita lihat betapa ramai anak muda Melayu yang terbabit dengan dadah, menganggur dan sebagainya sehingga mengurangkan populasi lelaki Melayu yang layak dikahwini.

Tetapi alim ulama, mufti membantah?

MAIMUNAH: Prof. Dr. Mahmud Zuhdi juga cendekiawan Islam dan beliau mungkin ada membuat kajian sebelum mengeluarkan cadangan. Bagi saya, kalau kita lihat misyar itu salah satu cara untuk mengatasi masalah kesukaran wanita mendapatkan jodoh, kenapa kita perlu halang?

Kalau kita sekat, mungkin akan berlaku bencana. Ini sama seperti jika kita bersikap negatif terhadap poligami, akhirnya kita dapat lihat sekarang masalah lebih besar berlaku seperti perceraian dan pertambahan jumlah andartu. Bagi saya, pertambahan jumlah andartu itu satu bencana dan kita perlu berusaha membaiki keadaan itu.

Puan bersetuju dengan cadangan itu?

MAIMUNAH: Kalau kita masih di takuk pemikiran lama dan menganggap kaum lelaki saja yang perlu mencari pendapatan kepada keluarga, memang masalah tidak akan selesai. Tetapi jika kita anggap kehidupan berumah tangga satu perkongsian dan muafakat, insya- Allah, kita akan dapat mengatasi masalah membabitkan ramai wanita yang sukar mendapat jodoh.

Kenapa gadis-gadis sekarang sukar mendapat teman hidup?

MAIMUNAH: Salah satu faktor yang menjadi penentu adalah pelajaran, rata-rata anak perempuan lebih tekun dan berjaya sampai ada sarjana dan Ph.D. Mereka kemudian mendapati semakin sukar mendapat teman lelaki yang sebaya usianya atau setaraf dengan kelayakan mereka. Jika tidak dicarikan jodoh oleh keluarga, mereka yang berpelajaran tinggi dan bergaji besar itu mungkin akan menjadi andartu sepanjang hayat.

Kalau Puan ada anak perempuan yang andartu, apa perasaannya sebagai ibu?

MAIMUNAH: Ini bukan soal cakap-cakap masyarakat sekitar. Masyarakat sekarang boleh menerima andartu. Persatuan Ibu Tunggal sendiri ada banyak ahli di kalangan andartu kerana andartu yang berusia 40 tahun ke atas dan ada anak angkat, kita terima sebagai ibu tunggal.

Tetapi memang banyak ibu bapa yang risau. Baru-baru ini seorang rakan saya yang ada anak perempuan melahirkan kebimbangannnya dengan berkata, “Selagi anak perempuan tidak lepas, selagi itulah susah nak pejam mata kalau mati.”

Ada orang kata ramai wanita sudah boleh berdikari dan soal kahwin itu hak peribadi?

MAIMUNAH: Tidak banyak wanita yang mahu hidup membujang. Itu fitrah manusia. Walau berjawatan tinggi sekalipun, mereka masih memerlukan lelaki sebagai pelindung dan teman untuk berkongsi masalah. Masalahnya, bagi gadis berkarier dan bergaji besar yang telah menginjak usia lebih 30 tahun, mereka lama-kelamaan akan menjadi tawar hati.

Hendak kahwin dengan lelaki lebih berusia, kebanyakannya sudah beristeri. Hendak kahwin dengan lelaki muda, susah, jarang ada wanita yang mahu. Ramai juga kaum lelaki yang berusia 40-an atau 50-an, masih berhasrat mencari gadis-gadis muda, manakala, lelaki muda pula biasanya akan mencari gadis lebih muda daripada mereka.

Adakah masyarakat bersedia untuk perkahwinan misyar?

MAIMUNAH: Pokok pangkalnya, ego seseorang itu. Ada wanita yang mahukan lelaki yang setaraf dengannya, begitu juga sebaliknya. Mereka yang saya tahu berkahwin dengan suami berpendapatan rendah mengakui bahawa suami mereka masih ada perasaan rendah diri.

Rasa rendah diri itu sebenarnya menjadi semangat kepada suami untuk lebih gigih bekerja menambah pendapatannya. Menantu saya misalnya jadi usahawan berjaya hasil dorongan dan muafakat dengan anak saya. Muafakat dan saling memahami antara suami isteri apalagi isteri tidak memandang rendah kepada kemampuan suami menjadi kunci kejayaan lelaki.

Bolehkah masalah andartu boleh dikurangkan dengan perkahwinan misyar?

MAIMUNAH: Saya tidak pasti. Tetapi wanita berkerjaya dan berpendapatan tinggi, tentunya ada keinginan mahu berkahwin dan menimang anak. Jika masyarakat lebih bersikap terbuka dan kaum lelaki tidak mengambil kesempatan, saya rasa ramai wanita tidak keberatan.

Apa kesan jangka panjang kalau ramai wanita Melayu dibiarkan tidak berkahwin?

MAIMUNAH: Bukan saja ramai wanita yang sukar mencari jodoh, lelaki Melayu juga ramai yang lambat kahwin atas pelbagai faktor terutama kewangan dan pekerjaan belum mantap. Kos perkahwinan pun terlalu tinggi sehingga ada yang tidak berkahwin terus.

Dengan ramai wanita dan lelaki Melayu tidak berkahwin, ditambah pula ratusan ribu lelaki Melayu terbabit dengan penagihan dadah, kesannya adalah zuriat Melayu dan lelaki Melayu ‘berkualiti’ akan berkurangan dari tahun ke tahun. Jika ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada kuasa politik orang Melayu.

Selain itu, saya khuatir akan berlaku kehidupan yang menyimpang daripada agama seperti perempuan simpanan, bertambahnya pelacuran dan kehidupan bebas tanpa nikah. Bencana itu mungkin tidak nampak sekarang tetapi tunggulah suatu hari kelak. Itu sebab saya begitu yakin dengan ayat dalam surah Hud, “Jika kamu baiki, tidak datang bencana.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: