Kedai Buku Mamak

Berjalan kaki dari Tabung Darah Hospital Besar Kuala Lumpur ke kedai-kedai buku di sekitar Chow Kit mengambil masa sekitar sepuluh hingga lima belas minit. Buat mereka yang tidak tahu, Tabung Darah HKL lokasinya dahulu berhampiran dengan bulatan Pahang sebelum berpindah lokasi sederet dengan Perpustakaan Negara dan Istana Budaya di jalan Tun Razak.

Memang menjadi kebiasaan untuk ayah membawaku ke Chow Kit dengan berjalan kaki, kadang kala sampai ke kawasan Masjid India. Keretanya akan diletak di Tabung Darah tempat beliau bekerja.

Ketika itu Chow Kit amat meriah dengan penjaja-penjaja Melayu dari hujung jalan sehinggalah hujung jalan yang satu lagi. Kaki jalan diletakan bumbung yang disediakan oleh DBKL dan adakalanya dibuat sendiri oleh penjual menggunakan kain kanvas dan papan lapis. Bunyi bising generator kedengaran sepanjang gerai-gerai jualan. Mereka berniaga seawal sepuluh pagi sehinggalah jam dua belas tengah malam.

Ketika itu Chow Kit juga terkenal dengan Hankyu Jaya, Keramat Batu Road Supermarket dan pasaraya COOP. Memang sesak dengan orang hampir setiap hari. Barangan tidaklah semahal mana. Produk cetak rompak ketika itu ialah kaset-kaset artis seperti Andy Lala, Sheila Majid, Fauziah Latif dan ramai lagi. Perakam kaset yang dijual bersama sekitar RM30 hingga RM90. Dahulu produk cetak rompak dijual dengan pemain kaset sekali. Itu kebijaksanaan peniaga pertengahan 80an.

Kedai buku pertama yang pertama dibawa oleh ayah ialah kedai buku mamak di sekitar Chow Kit. Itulah kedai buku yang paling mewah aku pernah masuk sebelum ini. Pilihan buku atas kehendakku. Ayah tidak akan bercakap banyak dan mengikut ke mana rak buku aku tujui. Dia hanya rancak berbual dengan mamak pemilik kedai sahaja. Mungkin sudah kenal lama. Lagipun ayah selalu membawa dua naskhak akhbar ke rumah setiap hari yang dibeli dari kedai mamak. Satu berbahasa Melayu dan satu berbahasa Inggeris.

Aku tidak pernah diberitahu dan diajar bagaimana memilih buku yang betul sesuai dengan umurku. Aku hanya membeli berdasarkan apa yang aku suka baca atau rasa perlu dibaca. Maka buku pertama yang aku beli ialah Belajar Bahasa Inggeris Dalam Masa 30 Hari.

Sampai di rumah, abang aku berkata, “Lepas tiga puluh hari pun tak tahu cakap bahasa Inggeris juga. Percayalah…”

Geram dengan cabaran abang, aku cuba juga membaca setiap apa yang ditulis. Tapi lain benar dengan apa yang aku belajar di sekolah. Bahasa Melayunya ganjil sahaja bunyinya, “Selamat sore….” , “Permisi dahulu….” , “Bisa sahaja….” dan banyak lagi perkataan yang digunakan untuk menterjemah perkataan “Good night….”, “See you….” dan seterusnya.

Selepas 30 hari, telahan abangku tepat sekali. Buku Belajar Bahasa Inggeris Dalam Masa 30 Hari jadi tukun selepas itu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: