Dulu tidak tenteram kini Roslan reda

Dulu tidak tenteram kini Roslan reda
Oleh: RAHANA MD

ROSLAN Zakaria (tengah) mendukung salah seorang bayi Pernim yang dipeliharanya sambil dikelilingi anak-anak kandung mereka dan anak Pernim.

LIMA anak yang comel dan sedang membesar dan seorang isteri cantik yang pandai menguruskan rumah tangga dan tidak pernah jemu membantu meningkatkan taraf hidup sekeluarga melengkapkan hidup Roslan Zakaria dalam mengecapi nikmat perkahwinan.

Apabila isteri tersayang, Norlina Alawi meluahkan perasaan belas mengenai seorang wanita cacat pendengaran dan bisu yang hamil hasil hubungan seks dengan penagih dadah, Roslan turut terasa pedihnya.

Pegawai tentera berpangkat Mejar di Markas 12 Briged, Kem Wardieburn, Setapak, Kuala Lumpur ini bersetuju untuk sama-sama isterinya menerima kelahiran anak itu sebagai ahli keluarga yang baru.

Namun Roslan sedikit kaget apabila diberitahu anak itu mungkin pembawa penyakit yang paling ditakuti, iaitu HIV/AIDS, kerana penagih dadah yang bersama ibunya itu disahkan penghidap HIV positif.

Tanpa pengetahuan yang lengkap mengenai penyakit itu, Roslan mula ragu-ragu dengan keputusan isterinya menerima anak angkat itu kerana khuatir keselamatan kesihatan anak-anak kandungnya.

Bagaimanapun, linangan air mata Norlina melembutkan hati Roslan untuk menerimanya dengan tangan terbuka.

Sekali lagi Roslan tersentak apabila isteri tersayang memberitahu, anak itu perlu diawasi sejak dalam kandungan untuk mendapat rawatan berjadual kerana ibunya juga didapati menghidap HIV hasil hubungan seks bebas.

“Saya kaget apabila hal itu diberitahu tetapi yang membuat saya lebih terkejut apabila Lina memberitahu dia ingin mengandung lagi untuk menyusukan anak angkat tersebut.

“Saya tidak membantah dan tidak juga bersetuju tetapi apabila Lina menjelaskan sebab-sebabnya, saya hanya mendiamkan diri. Lina mengandung dan saya dikurniakan anak keenam. Lina berjaya menyusukan anak angkat kami,’’ katanya.

Norlina yang berada di sebelah ketika temu bual itu turut menyampuk.

“Niat saya ketika itu ialah saya ingin melihat anak angkat saya itu mempunyai antibodi yang kuat bagi melawan penyakit jika ditakdirkan dia juga pembawa penyakit tersebut.

“Doktor memberitahu saya, anak-anak yang mendapat susu ibu akan lebih bertenaga dan saya yakin langkah itu betul,’’ ujarnya.

Apa yang menyentuh perasaan ialah Lina sanggup menanggung risiko mempercepatkan tarikh bersalin kerana ingin menyusui anak angkatnya itu dengan memerah dan menyimpan susunya di dalam peti sejuk, kemudian ibu kandung akan memberikan susu Lina kepada bayinya itu.

Akhirnya ibu bayi itu menyerahkan anaknya untuk dipelihara oleh Lina sekeluarga.

Bagaimanapun, Roslan terasa bagai diuji apabila Norlina sekali lagi menyuarakan hasrat untuk memelihara dua adik-beradik yatim piatu.

“Saya mula kurang senang dengan tindakan Lina kerana bilangan keluarga kami sudah cukup dan saya rasa tidak ada ruang lagi untuk orang luar.

“Saya mula bertanya kepadanya, rumah kita bukan pertubuhan kebajikan dan sesiapa sahaja boleh keluar masuk minta bantuan.

“Lina keras hati dan sukar dipujuk, apatah lagi apabila dia membuat keputusan menubuhkan Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman, Malaysia (Pernim),’’ katanya.

Norlina menambah, kedua-dua beradik itu merupakan anak kepada pasangan penagih dadah yang mati akibat AIDS.

“Selepas kematian ibu bapa, mereka dibuang oleh ahli keluarga dengan alasan tidak mampu menyara. Apa yang menyedihkan ada keluarga angkat yang sudi memelihara tetapi menyerahkan semula kepada keluarga asal apabila mengetahui latar belakang mereka.

“Saya kesal dengan tindakan tersebut dan tanpa berlengah lagi menerima kehadiran mereka dengan tangan terbuka. Begitulah seterusnya, saya menerima kesemua anak-anak yang kematian atau ditinggalkan ibu bapa angkara HIV/AIDS.

“Secara jujurnya memang suami membantah tetapi saya selalu bertegang urat mempertahankan pendirian memelihara anak-anak tersebut. Bukan saya melawan kehendak dan keselesaan suami tetapi hati kecil saya selalu berkata, bantahan itu hanya bersifat sementara.

“Saya tidak sampai hati sebenarnya membiarkan anak-anak yang tidak berdosa itu bergelandangan tanpa kasih sayang dan keluarga yang sempurna.

“Walaupun saya sedar tidak ada mewahnya tinggal di Pernim tetapi sekurang-kurangnya tangan yang saya hulurkan mampu meringankan derita anak-anak ini,’’ katanya sambil merangkul mesra anak-anak yang sibuk mengelilinginya.

Berkat doa yang tidak henti-henti dipanjatkan kepada Allah s.w.t. dan usahanya membawa suami menunaikan fardu haji ke Mekah pada tahun lepas, Norlina bersyukur dengan apa yang dilaluinya pada hari ini.

“Syukur, apa yang saya idamkan selama ini akhirnya mula menampakkan hasil apabila suami mula reda menerima kehadiran anak-anak Pernim,’’ kata Lina.

“Memanglah pada awalnya setiap kali Lina mahu menambah anak Pernim saya membantah tetapi apabila menatap wajah anak-anak itu hati kecil saya melimpah dengan rasa belas kasihan dan kasih sayang.

“Lagipun dahulu saya cetek ilmu mengenai penyakit HIV/AIDS dan beranggapan ia mudah berjangkit. Selepas diberitahu oleh doktor, saya mula sedar apa yang dilakukan oleh Lina patut disokong,’’ katanya.

Kecekalan dan ketabahan hati Lina mengharungi setiap kegetiran memelihara anak-anak Pernim turut memberi tamparan hebat kepada Roslan.

“Sebagai suami, hati saya cukup terusik apabila kepenatan dan susah payah Lina ditabur fitnah dan kata nista hanya semata-mata dia ingin memberi sesuap nasi kepada anak-anak yatim.

“Kami pernah disisih jiran tetangga, dimaki hamun orang-orang yang tidak memahami niat murninya dan dicemuh makan hasil anak-anak Pernim malah anak-anak mereka diusir daripada bermain dengan anak-anak kami.

“Itu semua memberi saya kekuatan untuk sama-sama berganding bahu dengan Lina kerana saya tahu dia amat memerlukan saya,’’ kata Roslan sambil memeluk bahu isteri tercinta.

Roslan mengaku layanan Lina bukan lagi seperti dahulu. Dulu, ketika dia balik daripada tempat kerja dia akan disambut dengan segelas air penghilang dahaga.

Hujung minggu mereka bersantai di rumah sambil di temani anak-anak atau keluar berjalan-jalan.

“Zaman itu telah berlalu tetapi saya tidak pernah kesal. Kalau ada masa terluang Lina tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dan dengan anak-anak saya tetap keluar beriadah tetapi dalam kumpulan yang besar,’’ katanya.

Itulah keistimewaan pasangan ini. Baik Norlina mahupun Roslan, mereka tidak pernah membeza-bezakan anak kandung seramai enam orang dengan 10 anak-anak Pernim.

Kasih sayang, perhatian dan belaian mereka tidak berbeza. Begitu juga dengan layanan di rumah. Mereka dihantar ke sekolah yang sama, kelas tuisyen dan kelas taekw0ndo malah pemberian wang ringgit juga sama.

“Sikap toleransi dan saling berkomunikasi memudahkan perhubungan kami,’’ katanya.

Bagi membuktikan hatinya benar-benar terbuka menerima usaha isterinya mewujudkan Pernim, Roslan sanggup memotong wang gajinya melebihi seribu ringgit sebulan semata-mata untuk membeli tanah di Kampung Tasek Permai Ampang, Selangor bagi membina sebuah rumah Pernim.

“Biarlah ada sebuah rumah yang selesa untuk anak-anak Pernim membesar dan bersekolah dengan baik.

“Tidak kira daripada mana pun asal keturunan mereka tetapi anak-anak ini adalah anak bangsa yang bakal menerajui negara pada masa hadapan. Saya dan isteri memang mengalu-alukan kedatangan lebih ramai anak-anak HIV/AIDS tetapi biarlah selepas terbinanya rumah perlindungan Pernim itu nanti,’’ katanya.

Orang ramai yang berminat menyumbang untuk membina Pusat Perlindungan Pernim yang kosnya dianggarkan berjumlah RM850,000 boleh menghubungi talian 03-4295 0775 atau 017-8860208 atau faksimile 03-4295 1079.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: