Juruteknik pilih penulisan kreatif

Petikan Berita Harian http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Sastera/20060713093149/Article/

Bicara Pengarang: Juruteknik pilih penulisan kreatif
Oleh Ihfayuliani Ibrahim

BAGAIMANAKAH Ahmad Zafran boleh berkecimpung dalam dunia penulisan?

Saya menulis sejak 1992 selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pernah menyertai Sayembara Penulisan di Dewan Sastera serta memenangi Anugerah Sastera Siswa Bank Rakyat (ASSBR). Pembabitan pada peringkat awal adalah dalam genre cerpen manakala novel bermula sejak tiga tahun kebelakangan ini apabila pengerusi PTS Pubications & Distributors Sdn Bhd, Ainon Mohd, mempelawa saya menulis novel. Akhirnya, saya lepaskan kerjaya sebagai juruteknik dan menjadi penulis sepenuh masa.

Mengapakah memilih penulisan novel?

Selain novel, saya juga menulis skrip untuk drama televisyen pendidikan. Bidang penulisan novel menambat hati saya kerana kepuasan dapat diperoleh apabila karya berjaya dihasilkan di samping membantu saya berkongsi pengetahuan dengan masyarakat melalui laman blog panaharjuna.blogspot.com.

Dari manakah Ahmad Zafran memperoleh idea untuk menghasilkan novel 40 Lukisan Hati dan Sahabat Kole Kacang?

Novel yang saya hasilkan ini berdasarkan pengalaman sebenar. 40 Lukisan Hati adalah dedikasi kepada rakan sekampus di Institut Teknologi Mara ketika belajar bersama dari 1992 hingga 1997 manakala ilham untuk Sahabat Kole Kacang timbul kerana adik kesayangan saya menyukai kuih itu. Idea yang ada dikumpul dan digabungkan dalam satu novel.

Apakah mesej yang ingin disampaikan?

Setiap karya perlu ada mesej. Apabila menulis, saya akan pastikan ada iktibar dan pengajaran kepada pembaca. Novel 40 Lukisan Hati membawa mesej dakwah dengan menggunakan pendekatan halus untuk remaja dan kuih kole kacang yang popular di selatan tanah air menjadi simbol persahabatan di kalangan kanak-kanak.

Adakah Ahmad Zafran membuat rujukan sebelum menulis novel?

Ya. Rujukan penting untuk memastikan penulisan lebih bermutu. Misalnya sebelum menulis Sahabat Kole Kacang, saya memerhati keadaan sekeliling, mendapatkan gambaran latar tempat dan menggunakan pendekatan serta bahasa yang mudah difahami kerana sasaran pembacanya adalah kanak-kanak.

Novel 40 Lukisan Hati menggunakan pendekatan genre chicklit. Apakah yang dimaksudkan dengan chicklit?

Chicklit berasal daripada perkataan chick literature dan popular di Barat. Genre ini masih baru di Malaysia dan sasaran pembacanya lebih tertumpu kepada remaja perempuan berusia 20-an tetapi berkerjaya, masih membujang serta hidup di bandar besar. Novel chicklit pertama di Barat ialah Bridget Jones Diary yang dijadikan filem selain The Girls Guide To Fishing And Hunting oleh Melisa Bank. Novel chicklit berbeza dengan novel remaja konvensional kerana kesudahan cerita berakhir dengan keceriaan dan tidak tragik.

Apakah strategi yang digunakan untuk menarik minat pembaca?

Kita perlu mendedahkan sesuatu yang baru dan berbeza kerana pembaca sentiasa mengharapkan kelainan agar tidak berasa bosan selain mesejnya jelas dan tidak menimbulkan kekeliruan.

Siapakah pendorong dalam berkarya?

Ibu bapa banyak mempengaruhi saya dalam bidang ini kerana mereka juga menulis untuk mengisi masa lapang. Pengerusi PTS Publications & Distributions Sdn Bhd juga banyak memberi sokongan. Selain itu, rakan seperjuangan yang turut berkarya membentuk persaingan sihat antara kami.

Siapakah idola Ahmad Zafran dalam bidang penulisan?

Selain pengerusi PTS, guru saya, Allahyarham Profesor Othman Puteh, juga menjadi idola dalam bidang ini.

Apakah novel terbaru yang sedang ditangani?

Saya dalam proses menyiapkan novel Disangkar Segala Naif, Sahabat Kole Kacang 2 dan 99 Hajat. Novel 99 Hajat istimewa kerana menghimpunkan 99 kisah mengenai penjaja hajat hasil tulisan barisan penulis buku kreatif seperti Alif Firdaus, Zaki Zainal dan Faizah Shafawi.

Apakah dunia penulisan kreatif mampu memberi pulangan lumayan?

Sudah tentu. Saya meninggalkan kerjaya tetap untuk menjadi penulis sepenuh masa memandangkan peluang yang luas dalam bidang ini. Kesabaran penting kerana hasil tidak akan diperoleh dalam sekelip mata tetapi kita perlu berusaha.

PROFIL
Ahmad Zafran Abd Mutalib

Tarikh Lahir: 6 Oktober 1974
Tempat Lahir: Negeri Sembilan
Kerjaya: Penulis sepenuh masa
Pendidikan: Diploma Kejuruteraan Elektrik, Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam
Penulisan: Antologi Cerpen dan Puisi Annyss Sophillea (1992), Novel 40 Lukisan Hati dan Sahabat Kole Kacang (2006)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: