Hashim sara keluarga dengan hasil penulisan

Sastera
Utusan Malaysia Jumaat 28 Julai 2006

Hashim sara keluarga dengan hasil penulisan
Oleh ANI AWANG

HASHIM Latiff bersama sebahagian daripada novel karyanya.

Kebanyakan penulis mungkin berpendapat tidak mudah menyara keluarga dengan hasil penulisan sebagai penulis bebas. Ini kerana pendapatan yang tidak menentu amat menyulitkan.

Namun begitu, kesemua ini dibuktikan tidak benar oleh penulis Hashim Latif, 45, dari Kelantan.

“Apa yang penting, kita kena ada disiplin diri dan kesungguhan,” kata Hashim mengenai petua kejayaannya sebagai penulis yang telah menghasilkan lebih 40 buah novel, 200 cerpen dan 200 skrip drama.

Hasil kesungguhannya, Hashim sering meraih beberapa anugerah sastera seperti Hadiah Sastera Utusan-Public Bank, Hadiah Sastera Perdana dan Sayembara Penulisan Cerpen Wilayah Timur.

Menurut Hashim, dia memberikan komitmen yang bersungguh-sungguh ketika melakukan kerja-kerja penulisan.

Katanya, dia mahu membuktikan bahawa anggapan sesetengah pihak bahawa menulis tidak boleh dijadikan pendapatan tetap adalah salah.

“Tekad itu saya tanamkan dalam diri saya. Oleh kerana itu, saya menulis dengan bersungguh-sungguh tanpa mengira waktu baik siang ataupun malam.

“Saya membuktikan tekad saya ini apabila setiap bulan saya menghasilkan sebuah novel yang tebal antara 300 hingga 400 muka surat.

“Dalam menulis kita perlu mempunyai disiplin. Memang pendapatan penulis sering kali tidak menentu tetapi saya bekerja keras untuk diri dan keluarga,’’ kata Hashim ketika dihubungi di Kelantan baru-baru ini.

Hashim juga tampil dengan nama pena Anis Shahira. Kebanyakan karyanya mengetengahkan kisah kehidupan masyarakat berdasarkan pengalaman dan persekitaran yang dilihatnya seharian.

Katanya, pengalaman dan persekitaran itu menjadi rencah yang berguna kepada penulis dalam menghasilkan karya kreatif.

Menyingkap sejarah awal penglibatannya dalam penulisan, Hashim mula muncul dengan novel pertamanya, Serunai Malam, pada 1991.

“Pada masa itu saya begitu berpuas hati kerana hasil karya sulung saya berjaya diterbitkan,’’ katanya yang mula menulis sejak 1979 melalui tulisan-tulisan berbentuk rencana dan drama yang sering disiarkan dalam Radio Malaysia Kuala Terengganu, Kota Bharu dan Kuala Lumpur.

Sasaran pembaca

Ditanya mengapa kebanyakan karya Hashim bertemakan keluarga, cinta dan pengorbanan, beliau menjelaskan, ia merupakan sasaran kepada para pembaca terutama golongan pelajar universiti dan remaja.

“Novel sebegitu sentiasa mendapat sambutan dan ini tidak dinafikan oleh para penerbit buku di negara ini.

“Penerbit di negara ini berlumba-lumba untuk menerbitkan buku begitu kerana ia mudah dipasarkan,’’ tambah Hashim yang yakin dengan potensi pasaran buku di negara ini.

Hashim menjelaskan, kebanyakan karyanya mempunyai nilai pengajaran kerana tema cinta yang dihasilkannya mempunyai wawasan.

“Saya tidak musnahkan cinta dalam karya saya dengan kematian yang tragik,’’ ujarnya.

Hashim sudah berkeluarga dan mempunyai lima anak berumur empat bulan hingga 13 tahun.

Dia sering mendapat sokongan penuh daripada keluarga yang memahami kerjayanya sebagai penulis.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: