Bicara Pengarang: Peguam tulis buku membina karisma

http://www.bharian.com.my/m/BHarian/Thursday/Sastera/20060817112429/Article/

Bicara Pengarang: Peguam tulis buku membina karisma
Oleh Ihfayuliani Ibrahim


KERJAYA sebagai peguam menuntut tumpuan yang lebih. Bagaimanakah Ahmad Naim Jaafar memperuntukkan masa antara kerjaya dan dunia penulisan?

Saya mula memberi tumpuan kepada bidang penulisan selepas tamat belajar dan dalam tempoh setahun berjaya menghasilkan lebih empat buku. Saya kemudian mengikuti latihan bidang guaman dan masih melakukan penyelidikan meskipun selepas bergelar peguam. Lazimnya, saya menulis pada awal pagi antara jam 3 hingga 4 pagi selain belajar daripada Peter Drucker, guru bidang pengurusan moden. Saya juga mengibaratkan diri sebagai wartawan ketika menulis dan menetapkan masa untuk menyiapkan hasil tulisan.

Buku yang dihasilkan banyak berkaitan dengan karisma. Mengapakah karisma menjadi pilihan?

Karisma adalah komponen personaliti yang bermaksud kelebihan, kuasa atau kualiti individu yang membuatkan dirinya disukai, dikagumi dan setia kepadanya. Saya melihat isu kepimpinan karisma sebagai bidang yang mampu memberi kesan jangka panjang kepada masyarakat. Kajian juga mendapati ilmu itu dapat digunakan untuk menilai pelbagai perkara berkaitan masyarakat. Misalnya dalam kepimpinan organisasi, pemimpin yang menerajunya akan menentukan karisma badan terbabit dan memberi sumbangan kepada masyarakat dengan menjelaskan kepentingan karisma.

Dari manakah Ahmad Naim memperoleh maklumat untuk menghasilkan buku sedemikian?

Buku pertama, Membina Karisma dihasilkan ketika berusia 22 tahun dan lebih kepada meluahkan apa yang terpendam dalam diri. Selepas menjadi penulis, saya menerima hakikat bahawa kita perlu menetapkan siapa sasaran. Masyarakat Malaysia makin matang dan memerlukan idea atau teori berdasarkan kajian kes. Dalam buku motivasi Kuasa Karisma, saya melakukan kajian kes dan menyaring satu prinsip kepimpinan daripada peristiwa sebenar. Selain itu, saya juga membuat pemerhatian, misalnya menggunakan prinsip ?kuasa peribadi? iaitu seseorang pemimpin tetap dikagumi walaupun selepas bersara kerana karisma peribadi yang dimiliki.

Adakah Ahmad Naim hanya menetapkan remaja sebagai sasaran pembaca?

Tidak. Ada buku yang dihasilkan bersifat umum dan ada yang khusus, misalnya Tips Menjadi Individu Menarik ditulis untuk memberi panduan kepada wanita manakala Membina Karisma keluaran 2003 pula sesuai untuk bacaan ibu bapa.

Buku motivasi Anda Berkarisma Apabila… kelihatan berbeza berbanding buku lain kerana judulnya. Adakah ia satu pendekatan untuk menarik perhatian pembaca atau ada maksud tertentu?

Buku ini berkaitan karisma lelaki untuk berusaha menjadi diri sendiri dan turut dikemukakan persoalan adakah karisma hanya ditujukan kepada satu gender saja kerana ada wanita berkarisma. Contoh terbaik yang dapat dilihat ialah Gabenor Bank Negara, Zetti Akhtar Aziz, yang berkarisma dan intelektual.

Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyiapkan sesebuah buku dan apakah karya terbaru yang sedang ditangani?

Ada buku yang dapat disiapkan lebih awal daripada jangkaan tetapi ada juga yang tersasar. Semuanya bergantung kepada tumpuan dan kajian. Saya dalam proses menyiapkan buku Kepimpinan Wawasan selain Kecantikan dan Ketampanan Sosial yang ditulis bersama rakan.

Mengapakah Ahmad Naim tidak menghasilkan buku berkaitan bidang guaman memandangkan buku sedemikian kurang dalam bahasa Melayu?

Saya mengakui untuk menulis buku berkaitan undang-undang sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris memerlukan pengalaman bekerja selama 10 tahun dalam bidang ini kerana banyak perkara yang mesti dikaji dan difahami terutamanya amalan undang-undang.

Bagaimanakah sambutan yang diperoleh?

Sambutan menggalakkan dan saya berpendapat buku motivasi dalam bahasa Melayu perlu terus ditulis oleh orang tempatan. Kita tidak menolak buku motivasi dari Barat tetapi buku terbabit lebih cenderung membincangkan prinsip umum sedangkan prinsip motivasi yang digunakan adalah sama. Buku kepimpinan mendapat sambutan pembaca kerana saya membincangkan fakta secara terbuka dan lantang untuk pembaca memahami, seterusnya menganalisis situasi atau sesuatu isu yang ditimbulkan.

Apakah keistimewaan buku motivasi yang dihasilkan?

Setiap penulis ada idea tersendiri untuk menjadikan karyanya istimewa dan menarik. Saya memastikan pembaca tidak keliru dengan penyampaian isu dalam setiap buku yang ditulis. Selain itu, saya tidak menafikan kepentingan komponen gimik dalam penulisan. Antaranya unsur kreatif, emosi dan fakta yang jelas serta tepat.

PROFIL
Ahmad Naim Jaafar

Tarikh Lahir: 18 Mei 1979
Tempat Lahir: Selangor
Kerjaya: Peguam dan perunding kepimpinan
Pendidikan: Sarjana Muda Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Penulisan: Membina Karisma (2003), Kuasa Karisma, Membina Remaja Berkarisma (2004), Tips Menjadi Individu Menarik, Membina Kredibiliti, Menjadi Gentleman, Anda Berkarisma Apabila… (2005), Tips Menjadi Individu Menarik (Edisi beg kertas 2006), Anggun Di Luar Serlah Pesona Dari Dalam dan Membina Karisma (Edisi 2006)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: