Kamera dan sejarah hidup

Kisah tahun 1988

Aku teringat waktu mula-mula belajar menggunakan kamera. Masa itu kamera jenis putar atau manual milik arwah ayah. Jenama KODAK berwarna hitam. Kalau hendak ambil gambar dengan flash, kena tunggu sehingga keluar lampu oren di belakang menandakan ia telah dicaj secukupnya. Berat juga kamera lama ini. Akhirnya kamera itu rosak setelah aku jatuhkan secara tidak sengaja pada satu malam. Aku sorokan di dalam kabinet pinggan mangkuk milik ibu. Esoknya abangku pula yang dimarahnya.

Kisah tahun 1995

Itu cerita pada tahun 1988. Kemudian kamera itu kembali ke tanganku setelah dibetulkan dengan penutupnya yang longgar. Ayah terpaksa menggunakan pelekat berwarnan hitam bagi mengelak cahaya dari masuk ke dalam. Nanti kuning gambar. Aku gunakan kamera itu sekali lagi ketika tingkatan tiga untuk kerja kursus. Ketika itu aku dan kawan-kawan membuat kajian sejarah masjid Tengkera.

Kali ini kamera jenama Kodak ini rosak lagi di tanganku setelah pemutarnya tersekat. Aku cuba putarkan juga sampai patah dan tercabut gegelung spring di dalam. Maka pada tahun 1995 dengan rasminya kamera KODAK milik ayahku seratus peratus tidak dapat
digunakan. Kali ini aku yang kena marah.

Kisah tahun 1996

Sekitar tahun 1996, aku mula belajar beli kamera sendiri. Masa itu beli kamera tidak ada jenama. Antara gambar bersejarah yang pernah aku ambil ialah sambutan harijadi ibu yang jatuh pada hari raya pertama. Masalah dengan kamera ini ialah ia tidak peka cahaya.

Gambar nampak muram sahaja sebab gelap. Tapi gambar-gambar yang aku ambil masih disimpan. Kebanyakannya gambar-gambar raya dari tahun ke tahun. Apa terjadi dengan kamera itu. Rosak juga ditanganku. Masa itu peribahasa bagaikan tikus membaiki labu amat sesuai untukku.

Kisah tahun 200-2003

Tahun 2000 sehingga 2003 aku kembali kepada kamera jenis manual atau kamera putar. Ketika itu KODAK memperkenalkan kamera tersebut pada harga sekitar RM50.00 (kalau sekarang rasanya sudah berharga RM38.00). Aku dan rakan baik, Azrie Rahim sama-sama
berkongsi wang membeli kamera itu. Masing-masing mengeluarkan RM25.00 seorang. Kamera ini adalah antara yang terbaik pernah aku miliki. Jenama KODAK walaupun
manual sekalipun tetap yang terbaik.

Kamera itu bertukar tuan dengan aku sebagai pemilik penuh kamera tersebut (bayar wang perkongsian kepada Azrie). Kamera ini berpindah bersama-samaku ke UIA dan gambar-gambar orientasi atau taaruf adalah gambar-gambar pertama yang aku ambil. Malangnya kedai gambar tersebut telah merosakan gambar-gambar tersebut. Sampai sekarang aku tidak pergi ke kedai tersebut.

Kisah tahun 2004

Sekitar tahun 2004 kamera KODAK ini hilang dari simpanan aku. Ia berlaku ketika kami baru menyelesaikan banci tentang pasca pilihanraya di Melaka yang banyak dengan soalan-soalan kontroversi termasuklah tentang bekas TPM bagi keperluan institut kajian di UIA.

Kamera itu hilang selepas kami tiba di Kuala Lumpur pada tengah malam. Malangnya banyak gambar yang bagus-bagus di dalamnya.

Kisah tahun 2005-2006

Pada tahun 2005 sehingga 2006 aku mula berjinak-jinak dengan kamera digital. Selain guna kamera milik rakan-rakan dari yang berjenama CANON sampailah ke OLYMPIA, aku belajar spesifikasi setiap kamera dan cara penggunannya. Kemudian abangku menghadiahkanku dengan kamera digital POLAROID yang berharga RM75.00 dengan kualiti gambar 2.0 mega piksel (standarnya sama seperti kamera telefon bimbit). Rezeki abang saya membelinya pada harga yang murah dengan potongan 70% ketika jualan penghabisan stok di Jaya Jusco.

Terima kasih abang meskipun dirimu menjadi sasaran dimarahi ayahku pada tahun 1988 kerana kes kamera KODAK dahulu.

Tetapi dengan kamera POLAROID yang dianggap ketinggalan dari segi ketajaman gambar inilah yang menjadi aset yang berharga untuk aku. Ia banyak membantuku melengkapkan berita-berita penulisanku dengan gambar.

Sepanjang dua tahun banyak gambar yang disiarkan diakhbar yang diambil melalui kamera ini. Terkini dua keping gambar bagi pameran di perpustakaan The Evergreen State College, Olympia, Washington adalah hasil dari lensa POLAROID 2.0

Kamera ini tidak hilang tetapi lain pula cerita yang berlaku. Ia dimasuki virus worm ketika aku memuat turun ke komputer rakanku. Sampai hari ini, jika dihidupkan yang timbul adalah perkataan POLAROID di skrin sampai bila-bila.

Kisah hari ini pada tahun ini.

Sehinggalah minggu lalu. Satu keputusan drastik dibuat. Aku membeli KODAK Digital 5.0 (sekarang 6.0) dari seorang rakan yang memang kaki menukar kamera (dia memang sukakan teknologi kamera). Tapi memang ikat perutlah kali ini, lebih mahal dari gaji bulanan tiga angka.

Gambar rasmi pertama yang aku ambil ialah Forum Islam Hadhari di PWTC hari ini.

Aku belajar satu perkara dalam sejarah pembelian dan pemilikan kamera ini. Dari masa ke semasa kita aku lebih menghargai kamera yang aku miliki. Kedua, ia menjadi aset yang boleh menjana sumber wang. Ketiga semurah mana harga kamera itu, raikan ia dengan menggunakannya sebaik mungkin. Kamera murah pun boleh membawa pulangan lebih dari harga kamera tersebut kalau tahu caranya. Itu cerita benar dari kamera POLAROID miliku dahulu.

Rasa-rasanya selepas ini aku kena rajin-rajin diri semula untuk muncul di khalayak dalam program-program bagi tujuan mencari bahan berita dan rencana. Lepas ini aku akan kejar jurufoto PTS yang berpengalaman dan di tahap jedi, Tuan Hisham Salmin untuk mengajarku tentang penggunaan kamera.

Oh, kalau rasa-rasa hendak lihat gambar sambutan kemerdekaan 1957 di Dataran Merdeka dan rombongan haji Tanah Melayu dengan kapal laut, marilah ke kampung. Ia dirakam dari lensa kamera arwah ayahku.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: