Tiada Kata Secantik Bahasa

Liku-liku hidup seorang insan kurang upaya. Mungkin tidak ramai yang tahu apa yang dilalui oleh insan-insan sepertiku. Sekurang-kurangnya dengan ceritaku ini dapat kalian di luar sana menyelami serba sedikit liku-liku hidup seorang insan yang bergelar OKU. Kali ini ceritaku ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’…lagu nyanyian Allahyarham P.Ramlee, memang menjadi kesukaanku setiap cerita ku sisipkan dengan lagu. Cerita kali ini bermula begini…

Sudah hampir dua bulan cathether kencingku bermasaalah. Asyik tersumbat saja dan air kencingku tidak keluar mengikuti tiub saluran bag kencingku. Penat isteriku asyik menyalin dan menukar kain cadar tilamku kerana kencingku sentiasa meleleh tanpa dapat dikawal. Untuk dipakaikan diapers aku banyak songel pula, tidak mahu dipakaikaikan kerana bila dipakaikan diapers perasaanku terasa ‘down’ dan terasa sakitku ini bertambah-tambah sakit. Itu baru cerita bab ‘air kecil’ belum lagi masuk bab ‘air besar’. Sebut pasal bab ‘air’ ini walaupun jijik atau janggal didengar tetapi kedua-duanya adalah ‘nikmat rasa’ yang Allah berikan kepada mahluknya. Bagi aku kedua-dua nikmat rasa yang dipinjamkan kepadaku ini telah hilang didalam hidupku Aku teringat pada iklan Petronas di kaca tv pada musim raya baru ini, antara dialognya ‘Ayah jangan lupa pakai lampin ya’…iklan yang paling menyusuk jiwaku setiap kali menontonnya..

Mengikut nasihat doktor setiap enam bulan sekali aku di mestikan membuat pemereksaan dan ultrasound pada pundi kencingku. Hampir dua tahun aku tidak pergi membuat pemereksaan. Menurut doktor jika kencingku bermasaalah dan tidak keluar secara betul takut memberi kesan pada buah pinggangku…semoga di jauhkan penyakit ini dariku, cukuplah dugaan yang telah aku lalui dan tanggungi sekarang.

Hari ini habis lencun cadar dan badanku kerana cathetherku tersumbat lagi. Kesian isteriku baru semalam menukar cadarku. Aku diangkat duduk di kerusi roda untuk dibersihkan dan dimandikan. Bila didudukan di kerusi roda kepalaku mulalah berpusing-pusing pening entah kenapa. Aku meminta isteriku memeluk kepalaku kerana terasa dunia ini berpusing ligat. Setelah hilang peningku, badanku diikat dikerusi roda dan ditolak ke porch kereta untuk dimandikan. Bilik air yang sedia ada tidak mesra oku jadi porch kereta inilah tempat mandiku sejak empat tahun lalu. Kalau dulu disini aku memandikan dan menggilatkan keretaku tetapi kini aku pula dimandikan dan di kilatkan….huhuhu sedihnya aku.

Hari ini anakku ‘Indah’ membantu isteriku memandikan aku. Anakku menumpukan di bahagian rambut dan mukaku dan isteriku pula di bahagian badan dan kakiku. Pertama kali air sampai ke badanku menggeletar seluruh badanku walaupun cuaca agak panas hari ini. Mungkin kerana seminggu sekali badanku bertemu air jadi tiada kemeseraan antara badan dan air. Jika boleh hari-hari aku mahu dimandikan tetapi apakan daya kederat isteriku tidak mampu menggangkatku dan memenuhi hasratku.

“Apalah ayah ini asyik gatal kepala saja”,kata anakku.

“Apa tidaknya,dalam badan ayah ini sudah bercampur dengan darah orang lain”, balasku.

“Darah siapa pula dalam badan ayah”, tanya anakku lagi.

“Ingat tak semasa ayah sakit dahulu, 3-4 pain darah dimasukkan ke badan ayah”

“Mungkin darah orang cina, orang india di dalam badan ayah ini”, terangku kepada Indah.

“Darah orang itulah yang membuat kepala ayah sering gatal”, balasku sambil tersenyum.

Isteriku cuma tersenyum mendengar perbualanku sambil mengosok dan menyental-nyental daki-daki di badanku. Memang telah menjadi kebiasaanku sambil isteriku memandikan aku, pasti aku dendangkan beberapa lagu tujuan mengusik dan menghiburkannya.

Medley lagu-lagu ‘Dimanakan Ku Cari Ganti’, ‘Jeritan Batinku’ dan ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ dendangan Allahyarham P.Ramlee aku nyanyikan buat isteri dan anakku petang itu. Walaupun isteriku cuba mengawal dirinya dari tersenyum tetapi akhirnya dia terpaksa senyum bila mendengar nyanyian sumbangku itu. Walaupun suaraku tidak semerdu suara P.Ramlee tapi bait-bait lagu itu ku kira dapat menyentuh perasaannya. Antara lirik lagunya berbunyi begini….

Tiada kata secantik bahasa

Untuk ku puji adinda

Tiada gambar secantik lukisan

Nak ku tunjuk perasaan

 

Oh… dinda puspa gemala

Mengharum jiwa

Hmm…

Oh… dinda puspa gemala

Mustika kanda…

Namun musim berubah

Suasana bertukar

Tapi ikatan mesra

Sikit pun takkan longgar

Tiada kata secantik bahasa

Untuk ku puji adinda

Sedang asyik aku menyanyi cuaca yang terang tadi bertukar menjadi mendung, hujan renyai-renyai mulai turun menyirami bumi.

“ekkk… hujan ini pun macam tidak sudi mendengar suaraku”, bisik hatiku.

“Assalamualaikum KS, sedap lagu itu”, tegur Abang Ali jiran sebelah rumahku.

“Waalaikumsalam abang Ali, KS sedang hiburkan hatinya”, jawab isteriku sambil tersenyum.

“Suka-suka saja bang…”, balasku.

Aku tersenyum-senyum dan tersipu malu, hujan turun semakin lebat. Romantiknya suasana petang itu, tidak dapatku gambarkan dengan kata-kata….‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ nak ku tunjukkan perasaan.

Kiriman ke Motivasi Minda oleh :

Kassim Selamat OKU 2002

‘ Jasad Terpenjara Jiwa Merdeka ‘

Nostalgiaku – http://kassim8888.blogspot.com/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: