Aziz Satar – Hashimah bukan cinta biasa

Aziz Satar – Hashimah bukan cinta biasa
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Saya pernah terbaca pesan orang bijak pandai, “Cinta itu umpama rama-rama, bila dikejar ia terbang jauh. Kalau berhenti, rama-rama akan hinggap di bahu.’’

Orang juga selalu berkata, “Cinta itu buta’’. Ini frasa yang sangat klise sebenarnya. Tetapi saya lebih percaya kepada kata-kata penyair Khalil Gibran bahawa, “Hidup tanpa cinta ibarat pokok tidak berbunga.’’

Maka saya melihat perkahwinan Aziz Sattar (Pak Aziz) yang berusia 81 tahun dengan Hashimah Delan pada 16 Disember lalu dari laras pesan Khalil Gibran.

Maka tidak ada apa-apa kejanggalan dengan perkahwinan Pak Aziz. Pak Aziz tentu percaya kepada rama-rama yang akhirnya hinggap di bahunya suatu hari nanti.

Lebih dua dekad menjadi ‘bujang lapuk’ akhirnya Pak Aziz tidak lapuk lagi. Dia sudah bertemu dengan ‘Sapiah’nya seperti yang dibayangkan dalam filem Bujang lapuk.

Tetapi ini bukan sebahagian dari filem yang pernah dilakonkannya. Ia juga bukan kisah khayalan yang menjadi dongeng cerita dalam novel-novel cinta.

Sebaik sahaja Pak Aziz melafazkan akad nikah dengan Hashimah Delan, 48 tahun, (bukan dengan wanita bernama Sapiah seperti kekasihnya dalam filem Bujang Lapuk) ia adalah realiti cinta antara dua hati yang sama-sama kekosongan.

*Hashimah peminat setia

Menyentuh soal jodoh dan takdir yang mempertemukan dua hati ini, pada awalnya memang ia datang tanpa diundang.

Hashimah adalah peminat setia Aziz dan pada awalnya lelaki yang sudah 23 tahun menduda ini gusar untuk menerima salam perkenalan peminat istimewanya itu.

Saya pernah diberitahu oleh pelakon Mariani bagaimana pada awalnya Pak Aziz berusaha untuk mengelak dari bertemu dengan Hashimah.

“Ada beberapa persembahannya dia minta saya temankan. Kata dia takut, ada peminat perempuan yang cari dia,’’ beritahu Mariani.

Mungkin pada awalnya Pak Aziz tidak mahu hubungan berkenaan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan anak-anaknya yang kesemuanya sudah dewasa.

Bagaimanapun setelah mengetahui status Hashimah yang merupakan ibu tunggal beranak tiga, Aziz mula memberi ruang untuk hubungan mereka berkembang.

Dari hari ke hari, setelah beberapa bulan mengenali pintu hati Pak Aziz terdetik untuk memberi ruang kepada Hashimah menjadi suri di hatinya.

“Kita pun sudah tua. Lebih baik kahwin kalau ada yang sudi menjaga makan pakai kita,’’ kata Aziz. Setelah kesemua anaknya memberi restu, Aziz tanpa sebarang gusar menerima jodoh itu dan berikrar untuk menjaga Hashimah sehingga ke akhir hayat mereka.

Pasangan ini dinikahkan oleh Pendaftar Nikah, Khairuddin Haiyon di Masjid Sultan Abdul Aziz, Shah Alam dengan mas kahwin RM100.

Pak Aziz turut memberikan wang hantaran sebanyak RM5,000 kepada Hashimah selain beberapa dulang hantaran.

Sementara itu majlis persandingan berlangsung di Restoran Puteri, Taman Tun Dr. Ismail milik Habsah Hassan dan Rubiah Suparman.

*Cucu bantu cinta SMS

Punya ‘sporting’ keluarga Aziz yang lain yang sedari musim percintaan lagi menunjukkan sikap positif apabila mengetahui bahawa Aziz sudah mempunyai seseorang untuk dijadikan isteri.

Menurut salah seorang ahli keluarganya, pada awalnya cinta antara kedua-duanya hanya berlangsung melalui kiriman demi kiriman SMS.

Walaupun Aziz tidak mahu bagaimana cara untuk membalas SMS yang dihantar Hashimah, dia mendapat bantuan daripada cucunya, Ruviyamin Ruslan, 17 tahun.

Ruviyamin bukan sahaja mengajar datuknya untuk membalas SMS berkenaan, tetapi juga membacakan petikan-petikan yang dihantar Hashimah kepadanya.

Seorang anak Pak Aziz yang berada di Scotland juga pulang untuk meraikan perkahwinan yang sepatutnya sudah dibuat pada Ramadan yang lalu.

‘’Bagaimanapun sebab anak saya mahu saya adakan majlis ini dengan kehadirannya, kami hanya boleh melangsungkan perkahwinan pada 16 Disember. Alhamdulillah,’’ kata Aziz yang dikenali oleh rakan terdekat sebagai seorang lelaki yang baik dan penyayang di sebalik sifat suka berlawak.

Majlis perkahwinan dan persandingan ini juga dihadiri oleh keluarga dan sahabat handai dari Singapura yang menyewa tiga buah bas ekspres.

24/12/2006 – size 4605 bytes Utusan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: