Nash & Watie cinta datang tanpa rencana

Nash & Watie cinta datang tanpa rencana
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

KATA Hamka, perkahwinan adalah mempertemukan dua jiwa dengan seribu perbezaan. Tambahnya lagi, perkahwinan juga ibarat kita menyusun piring yang pasti akan bergeser di antara satu dengan yang lain.

Maknanya dalam setiap perkahwinan akan terdedah kepada ujian seperti perselisihan faham yang sentiasa menghambat dalam perkongsian itu.

Jika erti perkahwinan yang dibicarakan dengan pasangan suami isteri baru ini, maka anda akan bertemu dengan makna cinta yang sebenarnya.

Cinta hadir tanpa diundang dan tanpa dipaksa telah menyatukan dua jiwa yang selama ini hidup di dalam sepi. Ini kerana kedua-duanya pernah mengalami kegagalan dalam rumah tangga sebelumnya.

Apabila penyanyi Nash mengahwini Sosilawati Lawiya, ini sebenarnya menamatkan sebuah pencarian yang panjang antara kedua-duanya.

Nash dan jutawan kosmetik itu bertemu jodoh di pelamin impian pada 16 November lalu setelah hampir setahun berkenalan.

Majlis perkahwinan mereka berlangsung di rumah keluarga pengantin perempuan di Kampung Sri Medan, Sri Menanti, Batu Pahat, Johor diikuti dengan majlis persandingan pada 24 November juga di rumah yang sama.

Penyanyi ini sudah menduda semenjak 11 tahun lalu dan mempunyai empat anak, sementara pengasas produk kecantikan Noveless Visage (NV) itu berpisah dengan suami pertamanya 10 tahun lalu dengan enam anak.

Bercakap tentang perkahwinan ini, kata Nash, akhirnya dia bertemu dengan apa yang dikatakan ‘jodoh’ selepas 11 tahun menduda.

‘’Kali ini saya merasai nikmat sebuah perjodohan. Kalau dulu kita yang mencari-cari, tetapi kali ini saya dapat merasakan perkahwinan kami sememangnya sudah diaturkan oleh Allah s.w.t.,’’ kata Nash.

Ada orang berkata, jodoh itu umpama rama- rama, semakin kita mengejar, ia terbang semakin jauh. Apabila kita berhenti kerana lelah atau kecewa, rama-rama akan hinggap di bahu.

Menurut penyanyi kumpulan Lefthanded ini, dia tidak pernah merancang untuk berkahwin dalam tahun ini. Perasaan suka dan kasih sayang ada kepada wanita itu semenjak awal perkenalan, tetapi dia tidak terfikir untuk melangsungkannya dalam waktu terdekat ini.

Atas permintaan ibu Sosilawati yang mahu menunaikan haji mereka akhirnya berkahwin juga pada 16 November lalu meskipun tanpa perancangan yang rapi.

Detik-detik awal yang mengikat perasaan mereka untuk bersatu bermula apabila Nash mendapat panggilan telefon Sosilawati pada Ramadan lalu yang pada ketika itu berada di tanah suci mekah.

‘’Sewaktu menerima panggilan Watie dari Mekah, dia memberitahu saya hasratnya untuk berdoa kepada Allah untuk kami berdua.

‘’Kesungguhan memberi perhatian kepada saya membuatkan saya merasakan dia benar-benar bersungguh untuk menjadi isteri saya. Dan saya juga menerimanya dengan hati ikhlas dan terbuka setelah saya yakin dengan kesungguhannya itu,’’ katanya lagi.

Nash menganggap kehadiran Watie dalam kehidupannya adalah satu anugerah yang tidak ternilai harganya. Malah penerimaan keluarga Watie terhadapannya juga menjadikan dia cukup terharu.

‘’Sekarang saya ada mentua yang baik hati yang menyayangi diri saya seadanya. Itu yang membuatkan saya rasa terharu.

‘’Saya berjanji dengan diri saya untuk menjaga dia dengan sebaik mungkin, membina keluarga yang bahagia bersama-sama. Sebenarnya kehadiran Watie dalam kehidupan saya adalah satu rahmat anugerah yang diberikan Allah kepada. Saya amat bersyukur,’’ katanya lagi.

Sama seperti pengantin baru lainnya, tidak ada pengharapan lain kecuali berharap perkahwinan ini membawa berkat kepada kehidupan mereka bersama.

Ini termasuklah membina semula kehidupan dan saling melengkapi sebarang kekurangan di antara satu sama lain.

Sementara itu bagi Sosilawati pula, semenjak detik pertama perkenalannya dengan Nash hatinya sudah terdetik,” ya, inilah lelaki yang bakal menjadi suami aku.’’

Perasaan itu datang dengan tiba-tiba dan entah kenapa dia merasakan suatu hari nanti akan datang jodohnya bersama dengan penyanyi Pada Syurga Di Wajahmu itu.

‘’Kami pernah berkawan tetapi pernah terputus selama tujuh bulan. Saya fikir, dia mungkin sudah tidak suka kepada saya lagi pada saat itu. Ketika di tanah suci bulan Ramadan lalu, saya minta petunjuk Allah. Kalaulah benar dia jodoh saya, satukan kami.

‘’Jadikanlah kami suami isteri. Kalau bukan dia, biarlah Allah hapuskan segala perasaan yang ada dalam hati saya kepadanya selama-lamanya,’’ beritahu Watie.

Wanita jelita ini tanpa berselindung mengakui, memang semenjak detik awal berkenalan dengan Nash dia sudah ada impian untuk berkahwin.

Sikap bukan kaki perempuan, beriman dan ketegasan yang ada kepada Nash menjadikan hati wanitanya cukup tertarik untuk mengenali lelaki itu dengan lebih mendalam.

Bagaimanapun dalam masa tujuh bulan hubungan mereka terputus, dia hilang harapan. Fikirnya Nash tidak mungkin memilihnya sebagai isteri.

‘’Saat itu saya tidak mengharap lagi kepadanya. Bagaimanapun ketika di tanah suci Mekah, hari-hari saya berdoa. Entah kenapa hati saya memang kuat mengatakan dia adalah jodoh saya dan pernah satu malam sewaktu berada di tanah haram, saya bermimpi wajahnya. Saat itu juga saya terus menelefon Nash dari sana.

‘’Alhamdulillah kembali ke Malaysia, pintu hati kami terbuka untuk berkawan semula yang beberapa minggu kemudiannya membawa kami ke majlis akad nikah,’’ kata Watie yang peramah ini.

Pasangan pengantin baru ini mengharapkan kebahagiaan berpanjangan, mendapat restu dan keredaan semua pihak sampai ke akhir hayat mereka.

Nash dan Watie juga akan mengadakan majlis persandingan pada 9 Disember di Padang Seksyen 7, Shan Alam dan menjemput semua pihak yang mahu bersama-sama meraikannya.

Majlis ini adalah penghargaan pasangan pengantin kepada semua pihak, peminat, keluarga dan sahabat handai yang dikenali mahupun tidak. Selamat pengantin baru. Berbahagialah hingga ke anak cucu.

03/12/2006 – size 6406 bytes UTUSAN

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: