Kenapa menulis tentang perhubungan dan cinta?

Kenapa kamu menulis bidang perhubungan dan cinta?

Itu soalan yang diajukan kepadaku berkali-kali oleh rakan-rakan. Soalan itu datang dalam pelbagai bentuk tapi isinya sama sahaja. Apa jawapanku, jawapan yang pasti aku ulang-ulang. Tahun ini aku memperjelaskan pilihan menjadikan siri perhubungan dan cinta sebagai senarai buku yang akan aku hasilkan pada tahun 2007.

Pertama : Permudahkan ilmu.

Aku selalu percaya, kemampuan kita memahami satu-satu ilmu itu menjadi tanggungjawab untuk kita mempermudahkan penyampaian ilmu itu kepada orang lain. Sememangnya banyak buku-buku luar negara yang dibawa masuk menceritakan tentang tip-tip perhubungan yang mungkin boleh diambil dan diubah serta disesuaikan. Maka aku memilih untuk melakukan kerja ini.

Kedua : Dengar, kumpul dan pelajari sesuatu dari yang tahu.

Aku percaya, para pembaca dan pemerhati buku-buku seperti ini ingin bercerita dan berkongsi tip-tip, pengalaman, pandangan mereka. Harapan mereka agar ia dapat membantu orang lain. Buktinya, lihat apabila ada lelaki dan perempuan yang hendak berumahtangga atau baru mula bercinta. Apa yang mereka lakukan?

Bertanya pada yang tahu.

Ketiga : Mengumpul bahan lisan kepada bertulis.

Proses ini berulang berkali-kali. Ia berulang dengan pelaku yang berbeza. Kemudian hilang begitu sahaja. Ia disampai secara lisan, bukan bertulis. Maka aku memilih untuk mengumpul apa yang disampaikan kepadaku sebagai mendokumentasi ilmu cinta dan perhubungan orang kita. Pendekatan mengumpul ini bukan perkara baru. Al Tabari merupakan pengumpul kisah para sahabat dan nabi Muhammmad. Orang selepas beliau menyelidiki dan menyaring kembali.

Keempat : Hendak mengetahui apa yang terjadi.

Aku menulis dan kemudian aku tahu dan faham kenapa sesuatu itu terjadi. Selepas menghasilkan buku-buku yang terawal, aku memahami manusia selalu berhadapan dengan masalah yang sama dalam percintaan dan perhubungan. Aku memahami, aku tidak harus bosan untuk mengulang-ulang menyampaikan ilmu ini agar orang tahu dan lama kelamaan mengambilnya.

Apabila seorang lelaki menulis tentang perhubungan dan cinta, sedikit demi sedikit dirinya lebih sensitif dan terbuka dengan perbezaan dari kaca mata dua jantina. Persoalan kenapa, mengapa, bagaimana, siapa, dan apa mula terjawab satu persatu. Ia membuat aku lebih berhati-hati dan lebih memahami.

Kelima : Aplikasi ilmu yang sedia ada.

Di universiti aku didedahkan kepada subjek-subjek komunikasi dan ada yang menyentuh tentang percintaan. Aplikasi ilmu di universiti aku salurkan semula kepada buku-buku yang dihasilkan semalam, hari ini dan akan datang.

Keenam : Pasti ada yang bersama dalam perjuangan ini.

Aku percaya apabila aku mula menulis dalam bidang ini, pasti ada yang ingin sama-sama menulis dalam bidang yang sama. Ini akan mempercepatkan proses perkembangan ilmu.

Ketujuh : Menggerakkan emosi dan ilmu seiring dalam dunia percintaan.

Selepas beberapa lama aku melihat perkara yang menggerakkan manusia dalam percintaan boleh jadi kerana mahu (emosi) dan tahu (ilmu). Aku harapkan buku-buku ini memberi manfaat terus ke dasar masyarakat terus kepada hierarki yang atas dalam komuniti.

Tidak semua lelaki akan membaca buku-buku perhubungan. Apabila perempuan membaca buku-buku perhubungan dan cinta, mempraktikan cadangan-cadangan dalam buku itu, maka perubahan perempuan itu sendiri akan menjadi guru untuk mendidik lelaki tanpa sedar.

Kelapan : Ingatan kepada diri. Menjadi cermin hidup.

Buku-buku yang aku tulis menjadi ingatan kepada diriku. Ia menjadi guru yang tidak bersuara tetapi berkata-kata melalui fikiran kita menerusi mata yang menyerap setiap huruf yang membentuk makna.

Barulah aku memahami, cinta bukan subjek yang kecil dan remeh. Cinta adalah subjek yang mengubah pola dunia. Sejarah kehebatan manusia banyak dipengaruhi dengan letusan-letusan kecil yang menyemarakan semangat diri dek penangan sayang kepada seseorang. Ia menggerakkan sebuah negara ke hadapan, membuat perubahan sempadan tamadun yang bukan kecil kesannya dan pelbagai perubahan lain yang dianggap kegilaan yang rasional.

Kesembilan : Insya Allah, bidang lain juga menjadi tumpuan.

Tidaklah bermakna aku tidak akan terjun ke bidang lain yang aku mampu faham dan aplikasi. Insya Allah 2007 ini akan membuka jalan kepada karya-karya terbaru dalam lapangan lain.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: