Hantaran tinggi, Trend atau Keperluan?

Persepsi masyarakat terhadap hantaran tinggi kepada bakal pengantin perempuan adalah isu masyarakat yang perlu difahami akar umbinya. Keputusan meletakkan jumlah hantaran tidak tertakluk kepada satu-satu sebab sahaja, ia berpunca daripada pelbagai faktor.

Punca paling popular diperkatakan sebagai sebab kepada jumlah hantaran yang tinggi ialah keputusan yang ditentukan oleh ahli keluarga dan sanak saudara. Jarang sekali kita mendengar pengantin perempuan menjadi titik punca kepada keadaan ini.

Bagi penulis buku Memahami Bahasa Cinta Lelaki dan 77 Tip Melembutkan Hati Lelaki, Zamri Mohamad melihat amalan meletakan hantaran tinggi semakin dibudayakan jika ia diamalkan pada dasar yang tidak betul.

“Sukar untuk mengatakan amalan meletakkan nilai hantaran yang tinggi sebagai sebagai sesuatu yang salah. Kita perlu berbalik kepada alasan di sebalik keputusan tersebut dibuat,” jelas beliau dengan menekankan faktor keperluan serta tuntutan kos majlis yang semakin tinggi menjadi punca keadaan ini berlaku.

Tambah beliau lagi, meletakkan nilai hantaran yang tinggi juga selalu disinonimkan dengan asal usul pengantin perempuan dan ahli keluarganya.

“Jika satu-satu nilai hantaran ditentukan, tidak kurang ada yang bertanya dari mana pengantin itu berasal. Ada keluarga yang percaya bahawa ada negeri yang cukup sinonim dengan nilai hantaran tinggi. Apabila keadaan ini berlaku, keluarga pihak lelaki seolah-olah boleh menjangka apa yang dihendaki dari pihak sebelah sana,” katanya.

Majoriti lelaki lebih suka dengan nilai hantaran yang berpada-pada. Tidaklah bermaksud dengan meletakkan nilai yang sangat rendah. Jika dapat disesuaikan dengan kemampuan lelaki untuk menampung kehidupan selepas berumahtangga ia tentu memberi motivasi dan kekuatan pada pihak suami untuk memberi yang terbaik.

Tidak kurang juga nilai hantaran tinggi menjadi cabaran yang disukai. Meskipun ia kedengaran aneh, tetapi bagi sebahagian lelaki kemampuan untuk memenuhi nilai hantaran tersebut seolah-olah menjadi pertandingan untuk mengatasinya dirinya sendiri dan menguji sejauh mana dirinya mampu memenuhi permintaan tersebut.

Hantaran tinggi memberi kesan kepada faktor masa untuk bakal pengantin. Ia berbalik kepada jumlah simpanan yang perlu untuk lelaki penuhi bagi memenuhi impian berumahtangga. Jelas beliau, amalan biasa golongan bujang yang bekerja mempunyai sekurang-kurang satu jenis simpanan di insititusi kewangan. Dari satu sumber simpanan itulah pelbagai jenis perbelanjaan mengalir. Semakin tinggi hantaran maka semakin lama masa diambil bagi lelaki untuk mendirikan rumahtangga. Tidak kurang juga kelewatan berumahtangga menjadikan lelaki semakin kurang minat untuk meneruskan hasrat tersebut dan menumpukan kepada karier.

Jelas beliau lagi, “Isu hantaran tinggi ini menjadikan orang lelaki lebih banyak berfikir apa dan bagaimana alternatif lain yang perlu diambil untuk berhadapan dengan keadaan ini. Jika dahulu, simpanan wang bekerja dijadikan sumber utama. Ia kemudian bertambah dengan pilihan untuk mencari sumber kerja lain atau bekerja lebih masa. Tidak dinafikan ada yang mula menjadikan pinjaman peribadi di insitusi kewangan sebagai cara. Malah kad kredit juga menjadi alternatif golongan muda hari ini.”

Penulis dan pengendali laman Motivasi Minda ini merasakan isu hantaran tinggi ini dapat dirungkai dengan kesepakatan kedua-dua pihak melibatkan bakal pasangan dan perubahan perspektif ibu-bapa serta sanak saudara bakal pasangan yang perlu bersandarkan kepada rasional di sebalik nilai setiap ringgit yang ditentukan mereka.

“Kita harapkan selepas majlis perkahwinan, si suami boleh senyum lebar dan gembira. Tidaklah masam mencuka dan kusut memikirkan wang yang dipinjam untuk berumahtangga. Jika ini berlaku, di mana bahagianya?” kata akhirnya kepada wartawan majalah PEREMPUAN.

Petikan wawancara penulis dengan wartawan majalah tersebut

1 Komen »

  1. Dato' said

    Saya terbayangkan senario berikut. untuk menunaikan jumlah hantaran ataupun perbelanjaan kenduri yang ditetapkan, kedua bakal pengantin wanita dan lelaki terdesak untuk mencari sumber pendapatan yang diperlukan tanpa mengambil kira halal haram ataupun batas undang2 yang telah ditetapkan. sebagai contoh,melabur dalam skim2 pelaburan ala2 skim cepat kaya atau piramid (setengah darinya dikatakan halal dari segi syari’ah!) Wallahualam.

RSS feed for comments on this post · TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: