Kerana 4 Juta Pound Sterling

Dua minggu lalu, aku menonton sebuah filem bertajuk Halflight. Filem lakonan Demi Moore mengisahkan bagaimana penulis novel British, Rachel Carson berhadapan dengan tekanan kehilangan anaknya yang mati lemas di rumah mereka. Demi mententeramkan hatinya, Rachel membawa diri ke sebuah pulau di Scotland bersama-sama mesin taipnya dengan harapan dia dapat memulihkan semangat hidup dan kekuatan untuk berkarya kembali.

Pelbagai peristiwa aneh berlaku apabila Rachel seringkali bertemu dengan imej anaknya. Boleh dikatakan unsur-unsur seram, misteri dan hantu cuba ditimbulkan dalam cerita ini. Pertemuan Rachel dengan penjaga rumah api di pulau tersebut menambahkan lagi episod suspen sepanjang filem ini.

Kejutan bermula apabila Rachel mendapat tahu penjaga rumah api tersebut, Angus Macculloch (lakonan Hans Matteson) sebenarnya telah tujuh tahun meninggal dunia kerana membunuh diri setelah mendapati isterinya curang. Keadaan ini menjadikan Rachel semakin tertekan dan keliru sehinggakan kelihatan gila dan dianggap kurang siuman oleh para penduduk kampung tepi pantai di Ingonish Cove.

Jawapan di sebalik misteri ini terungkai apabila keadaan-keadaan ganjil ini sebenarnya rancangan suami Rachel sendiri, Brian (lakonan Henry Ian Cusick) bersama-sama teman rapat Rachel, Sharon Winton (lakonan Kate Isitt) yang berkomplot hendak membunuh Rachel kerana inginkan royalti jualan buku isterinya berjumlah empat juta pound streling.

Antara episod yang menarik.

Ketika Rachel dan Angus berjalan-jalan di sepanjang laut. Angus memberitahu Rachel mengapa bot-bot nelayan di kampung itu mempunyai warna-warna yang berbeza. Kata Angus, “Ini untuk memudahkan isteri tersayang melihat dari jauh suami mereka. Jiwa mereka lebih tenteram selagi bot-bot nelayan milik suami mereka masih kelihatan di tengah laut.”

Tinggalkan komen