Cinta, antara rasional dan syariat

Teks dan gambar oleh Zamri Mohamad 

Peranan cinta dalam mengubah pola hidup manusia sangat besar sehingga Stendhal menyebutkan, “Harapan yang kecil sudah cukup untuk melahirkan cinta.”

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui kelab Wawasan telah menganjurkan forum bertajuk Cinta di Auditorium Utama dengan para panelis seperti pelakon veteran Aziz Sattar, pensyarah UIAM ustaz Maszlee Malik dan Datin Ismalina Ismail mewakili alumni UIAM.

Forum yang mendapat sambutan ramai dengan kehadiran warga kampus ini merupakan pencetus kepada keterbukaan dalam membincangkan isu cinta dalam perspekif agama, akademik dan pengalaman diri sebagai usaha menjana cinta sebagai platform motivasi kendiri dan perubahan sosial yang besar.

Cinta dahulu dan sekarang

Aziz Sattar dalam bicaranya mengatakan fenomena cinta dahulu dan kini jauh berbeza. Beliau mengutip kembali kisah-kisah lamanya, “Melihat anak gadis keluar berdua-duaan dahulu amat sukar. Ibu bapa sangat mementingkan keselamatan anak gadis mereka. Malah orang dahulu sangat menjaga keadaan ini sehinggakan kemungkinan seorang lelaki dipukul kerana membawa keluar anak gadis kampung boleh berlaku. Orang dahulu sangat menjaga hubungan dan saling memerhati keadaan.”

Budaya cinta hari ini menimbulkan rasa takut dan tangisan kepada pelakon yang kini mempunyai cucu seramai 19 orang. Beliau mengingatkan pasangan muda untuk menghormati apa yang Allah beri. Aziz menyatakan sedemikian sebagai respon terhadap sebilangan anak gadis yang menjual cinta dan tubuh untuk nilai ringgit yang tidak seberapa sebagaimana dipaparkan akhbar tempatan.

Kata pelakon berusia 81 tahun ini, ibu bapa banyak memainkan peranan dalam usaha menjodohkan bagi memastikan pembinaan keluarga sesuai dengan keperluan
membina komuniti seimbang.

Cinta dedikasi ke dalam karya

Subjek cinta membawa Aziz Sattar kepada kenangan bersama seniman lagenda allahyarham Tan Sri P. Ramlee, “Terhasilnya filem Ibu Mertuaku selepas cinta P. Ramlee terhadap seorang gadis bernama Hamidah ditolak oleh keluarganya kerana latar belakang P.Ramlee sebagai anak bangsawan.”

Namun dalam cerita cinta yang berbeza, P.Ramlee dari kaca mata Aziz Sattar sebagai seorang seniman yang sangat menyintai kerja-kerjanya dalam bidang perfileman dan muzik. P.Ramlee bersedia memberikan apa-apa sahaja watak meskipun kepada orang dianggap musuh jika benar-benar layak membawanya berbanding rakan rapatnya asalkan hasil akhir karya itu bermutu dan memberi faedah pada masyarakat.

Tanggungjawab dan pengorbanan

Tanggungjawab dan pengorbanan adalah dua unsur wajib yang perlu ada dalam membina hubungan cinta yang betul. Pandangan diketengahkan ustaz Maszlee Malik ini bersandarkan kepada betapa perlunya mana-mana pasangan yang bercinta untuk meneruskan ikatan kasih sayang melalui pernikahan.

Menurut Maszlee, “Lelaki yang menghormati perempuan tidak sewenang-wenangnya menyentuh kulit pasangan sebelum diijabkabul. Kemampuan diri lelaki menahan dirinya berbuat demikian menggambarkan sikap bertanggungjawab menjaga hak dan status moral perempuan sebelum berumahtangga.”

Cinta dikembangkan kepada definisi yang lebih luas dan bermakna sesuai dengan konteks kehidupan manusia. Maszlee menekankan betapa pentingnya diri membebaskan fahaman cinta yang terperangkap dalam makna yang jumud dan primitif kepada yang bersifat global.

“Syeikh Ahmed Yasir, seorang negarawan yang syahid menentang rejim Israel mempamerkan bagaimana cinta memenuhi unsur pengorbanan dan tanggungjawab. Tanpa keupayaan fizikal dan dengan hanya berkerusi roda, Yassir sesekali tidak mengiktiraf rejim Israel. Cintanya kepada negara menimbulkan kegerunan musuh. Perjuangannya menyaksikanYassir keluar masuk penjara sepanjang 18 tahun sehinggalah tentera Israel yang dianggap tentera keempat terbaik dunia terpaksa membunuhnya dari jauh dengan roket yang dibawa helikopter Apache,” kata Maszlee yang melihat formula cinta harus dikembangkan dalam setiap aspek kehidupan.

Menyentuh tentang maksud al Quran yang menyebut lelaki melebihi dari sudut kekuatan berbanding perempuan, Maszlee mengatakan ia merujuk kepada nilai perlindungan yang mampu diberikan lelaki. Dalam situasi negara hari ini dengan jumlah lelaki yang melebihi perempuan, Maszlee menyatakan kuantiti lelaki yang disifatkan pelindung dan selamat untuk perempuan semakin berkurangan.

Pelindung dari erti kata lain ialah lelaki yang mempunyai semangat hidup yang positif, bersikap sebagai suami yang faham dengan peranan dan mempunyai nilai hormat terhadap orang lain.

Tambah Maszlee, “Buat lelaki yang ingin bercinta jadilah seorang pelindung. Berani untuk menemui ibu bapa gadis sebagai tanda sikap serius.”

Mulakan cinta kepada yang satu

Seawal cinta yang perlu muncul dari hati ialah cinta kepada tuhan. Jelas Maszlee, di dalam al Quran dan hadis Allah kerap menggunakan perkataan cinta apabila menyebut sesuatu kepada hamba-hambanya. Kehebatan kasih sayang tuhan dilihat melalui keadilan nikmat yang diberikan kepada para hambanya baik yang berbuat baik mahupun sebaliknya. Membalas kasih sayang tuhan dengan memenuhi tanggungjawab sebagai muslim adalah tanda cinta yang bermakna.

Sikap pasangan muda yang sanggup membelakangi ibu bapa kerana mengejar cinta seorang lelaki adalah antara perkara menjadi isi utama bicara cinta ustaz Maszlee Malik.

Ikhlas dalam perkahwinan

Kenangan berkahwin ketika di universiti membawa kekuatan buat Datin Ismalina Ismail. Beliau yang mendirikan rumahtangga ketika tahun ketiga pengajian bersama suami banyak mendidik beliau untuk menghargai cinta yang dipupuk sejak awal pertemuan sehingga kini. Pengalaman-pengalaman yang dikongsikan kepada para hadirin disifatkan sebagai peristiwa pahit yang penuh kemanisan.

“Pada awal perkahwinan kami sebagai pasangan muda, ia bukanlah zaman mewah seperti yang disangka. Kami menyewa sebuah bilik dan berulang alik dengan sebuah motor ke kampus untuk meneruskan pengajian kami. Periuk nasi elektrik yang dihadiahkan oleh rakan ketika majlis perkahwinan kami menjadi tempat memasak nasi dan telur untuk dimakan bersama-sama kicap,” katanya membuka cerita.

Dirinya yang mengandung ketika itu menyukarkan Ismalina mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian. Alternatif diambil dengan membuat pekerjaan sampingan seperti menjadi guru tuisyen, guru mengaji dan berniaga di hadapan rumah.

Pelbagai kerja diteruskan tanpa rasa malu demi survival anak. Bagi Ismalina, pengorbanan ini banyak bersandarkan rasa cinta dan dengan pelbagai masalah ini bukanlah satu tekanan untuk melarikan diri tetapi ia menentukan bagaimana diri hendak bermain dengan keadaan.

Cinta dijadikan pembakar semangat dan mengukuhkan matlamat untuk bekerja dengan lebih baik. Malah cinta yang disuburkan dengan cara betul menjadi pencetus kejayaan dan mencipta kegembiraan kepada ibu bapa. Keseimbangan cinta menjadikan diri lebih cenderung kepada ilmu sebagai usaha mempertingkatkan kualiti diri.

Selesaikan sebelum berumahtangga

Ismalina juga mengingatkan agar tidak ada masalah yang belum selesai tergantung sebelum perkahwinan. Beliau juga menggalakkan budaya berfikir sebelum mengambil apa-apa keputusan. Sikap tergesa-gesa memilih pasangan boleh membawa kepada lebih banyak kepada konflik pada masa akan datang.

Membuat keputusan memilih pasangan sangat berkait rapat dengan jenis rakan-rakan yang mengelilingi individu yang diminati. Ismalina melihat janji setia cinta sebelum berumahtangga tidak bukanlah cinta sebenar. Bagi beliau tahap hayat cinta seperti itu sangat singkat dan mudah putus kerana tempoh itu dilihat sebagai sebagai proses menimbang kembali keputusan sepanjang berkenal-kenalan.

Tambah Ismalina, “Maruah adalah satu perkara yang sangat penting untuk dijaga oleh mana-mana individu. Kelewatan mendapat jodoh sebagaimana dirancang peribadi tidak harus menjadi alasan membuat keputusan terdesak. Hasilnya kita tidak menjadi diri sendiri.”

Sihir setelah cinta ditolak

Amalan sihir dalam membina percintaan juga menjadi isu utama yang dibincangkan dalam forum ini. Sihir sama ada berbentuk mengikat hati orang yang disukai atau untuk tujuan membalas dendam setelah cinta ditolak kedua-duanya diharamkan dalam agama.

“Sihir sebagai ugutan agar menerima cinta adalah sesuatu yang dilarang. Namun begitu tidak semua sihir menjadi. Berhati-hati sebelum memberi andaian ke atas perkara buruk yang terjadi kepada mana-mana individu. Jika ia terjadi sekalipun, ia bertujuan meningkatkan iman agar individu yang diuji mendekatkan diri kepada Allah,” ulas Maszlee.

Istikarah amalan popular

Maszlee Malik menambah, amalan solat istikarah disifatkan sebagai pendekatan popular dalam mendapatkan keputusan sebelum memilih pasangan hidup. Beliau mencadangkan agar mana-mana individu yang ingin mendirikan solat sunat ini agar mengambil pendapat dan berbincang sebelum membuat keputusan. Ia tidak semestinya dijawab melalui mimpi semata-mata.

Keputusan memilih jodoh datang bersama pemikiran rasional yang digandingkan dengan syariat. Amalan mencari jodoh melalui solat istikarah perlu diiringi dengan doa agar Allah mendekati pilihan hati jika ia merupakan pilihan terbaik dan menggantikan yang lebih baik jika ia bukan yang bersesuaian dengan diri.

“Cinta ada di mana-mana. Jangan mudah rambang mata apabila melihat kecantikan. Belajarlah bersyukur kerana si dia yang diberi adalah nikmat tuhan. Budayakan kasih sayang dengan pasangan dengan ucapan salam di pintu rumah sekalipun,” nasihat Aziz Sattar bersandarkan pengalaman sebagai generasi lama mengakhiri forum selama dua jam ini.

Tinggalkan komen