Lelaki berusia lebih romantis, sensitif, sabar layan kehendak isteri,

Berita Harian 15 Feb 2007
Gadis pilih orang tua, kaya sebagai pasangan hidup
Oleh Fadzlena Jafar

Lelaki berusia lebih romantis, sensitif, sabar layan kehendak isteri,banyak pengalaman untuk dikongsi: Dr Rusinah

BERBEZA: Pengarah terkenal Hollywood, Woody Allen, sanggup meninggalkan isterinya, Mia farrow untuk mengahwini anak angkat mereka, Soon Yi Previn yang jarak usianya hampir 30 tahun daripada Allen.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini bagaikan menjadi satu aliran di kalangan gadis muda di negara ini memilih jejaka kaya yang berusia sebagai teman hidup. Jika jarak umur itu lima hingga 10 tahun mungkin tidak mengapa, tetapi sekiranya lelaki berkenaan layak dipanggil bapa berikutan perbezaan umur yang begitu ketara, tentu mengundang tohmahan.

Bak kata orang, bagai anak dan bapa apabila disandingkan bersama di atas pelamin. Malah, ada ketikanya mempelai tampak seperti cucu digandingkan dengan datuk. Mungkin ada yang tercuit dengan kata-kata itu, tetapi sama ada suka atau tidak itulah pandangan masyarakat apabila melihat pasangan yang jarak umurnya begitu ketara, berkahwin.

Meskipun kisah perkahwinan dua generasi itu sudah dianggap lapuk, pemberian wang hantaran yang berjumlah puluhan ribu ringgit sehingga ada yang mencecah ratusan ribu ringgit secara tidak langsung menjadi sensasi apabila dilaporkan media, khususnya jika membabitkan selebriti popular tanah air.

Hakikatnya, perkahwinan sebegitu bukan saja berlaku di kalangan selebriti, tetapi juga wanita biasa. Namun, perkahwinan selebriti lebih mencuri tumpuan berikutan status mereka. Kesenangan dimiliki dan kehidupan mewah yang dinikmati daripada perkahwinan itu bagaikan mempengaruhi wanita muda hari ini untuk turut menagih cinta lelaki berusia yang kaya raya.

Satu kajian yang dijalankan mendapati 65 peratus gadis muda hari ini sanggup memilih lelaki berusia yang berharta pada peringkat umur 40 hingga 50 tahun sebagai calon suami, manakala 12 peratus lagi menyatakan kesediaan untuk mengahwini lelaki sebegitu pada lingkungan umur antara 51 hingga 60 tahun.

Kajian itu dilakukan Pensyarah Kanan Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Dr Rusinah Siron dan Sabariah Siron pada 2006 di kalangan pelajar wanita institusi pengajian tinggi (IPT) berusia antara 21 hingga 28 tahun seolah-olah mengesahkan senario berkenaan.

Dr Rusinah berkata, hasil kajian mengejutkan itu mendapati kebanyakan responden memberikan alasan seperti latar belakang hidup yang susah selain inginkan jaminan masa depan sehingga mendorong kebanyakan gadis muda hari ini untuk memilih suami yang berharta, walaupun perbezaan umur begitu ketara.

“Kebanyakan responden mengakui masa depan dan kerjaya wanita yang tidak dapat dijangkakan menyebabkan mereka berasa perlu keselamatan serta jaminan masa depan. Mengahwini lelaki yang berharta walaupun sudah berusia memberi peluang kepada mereka untuk menikmati hidup yang selesa tanpa perlu bekerja keras kerana hidup susah yang dilalui sebelum ini.

“Ada juga yang menyatakan mereka tidak yakin dengan diri sendiri dan memerlukan sokongan lelaki berusia yang sudah berjaya dalam hidup mereka. Malah, antara alasan diberikan dengan mengahwini lelaki sebegitu mereka dapat hidup senang dan impian menjadi kenyataan untuk menikmati gaya hidup mewah. Ada juga yang mengatakan cara itu membolehkan mereka menyertai golongan elit dan kelas tertentu,” katanya.

Kajian bertajuk ‘Pemilihan Lelaki Berusia dan Berharta Sebagai Pasangan Hidup – Kenyataan atau Kebetulan’ itu dijalankan ke atas 350 pelajar wanita universiti swasta dan 700 pelajar di dua universiti awam terpilih bermula Januari hingga Mac tahun lalu.

Responden yang berusia antara 21 tahun hingga 28 tahun adalah daripada pelbagai program pengajian dan objektif kajian berkenaan dijalankan bagi melihat perspektif dan fokus pemikiran golongan wanita muda terpelajar dalam mencari pasangan hidup.

Selain itu, hasil kajian itu juga menunjukkan 70 peratus responden percaya pemilihan lelaki berusia dan berharta sebagai suami akan mengubah gaya hidup dan cita rasa mereka terhadap kehidupan. Jika selama ini si dara lebih cenderung terhadap muzik moden dan rancak seperti hip hop, pop dan rock, perkahwinan berkenaan mungkin akan membuatkan mereka terpaksa bertukar selera kepada muzik kegemaran suami, khususnya klasik.

Mereka juga tidak lagi boleh mempraktikkan gaya hidup lazim seperti berhibur di luar rumah dan gaya percakapan juga lebih feminin serta matang. Malah, cita rasa terhadap solekan dan berhias perlu menunjukkan kematangan supaya dapat disesuaikan dengan gaya suami.

Begitupun, Dr Rusinah berkata, kecenderungan gadis muda dalam memilih calon suami berusia itu bukan sekadar mengimpikan kemewahan, sebaliknya lelaki tua dikatakan lebih memahami dan mampu menjadi pemimpin keluarga yang baik.

“Antara jawapan kami terima ialah cinta lelaki berusia lebih meyakinkan berbanding lelaki muda yang tidak matang. Malah, lelaki pada usia berkenaan dikatakan romantik dan sensitif dengan perasaan wanita selain sabar melayani kerenah mereka.

“Berbanding lelaki muda, lelaki berusia dikatakan tidak membosankan. Mereka tidak lokek berbelanja dan suka berjenaka serta mempunyai banyak cerita melucukan untuk dijadikan bahan perbualan,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Rusinah berkata, kebanyakan reponden berkenaan menyatakan ketidakpastian terhadap kesetiaan pasangan berikutan jarak usia yang jauh. Kira-kira 62 peratus mengakui perbezaan itu mengundang rasa sangsi, terutama terhadap pergaulan sosial pasangan selain masa depan yang kabur.

Malah, ada yang mengatakan kurang yakin dengan diri mereka untuk berhadapan dengan cubaan dan godaan lelaki muda atau yang sebaya. Mereka juga bimbang gagal mengikuti gaya hidup baru itu yang pastinya membawa perubahan sosial dan perasaan.

Dalam hubungan ini, katanya, gadis muda berkenaan perlu memikirkan secara menyeluruh apabila membuat keputusan dalam memilih calon suami kerana sikap terburu-buru dalam menentukan pilihan hidup boleh memberikan implikasi besar terhadap masa depan kelak.

“Gadis muda hari ini perlulah melihat perspektif kehidupan dengan lebih meluas dan tidak dikongkong dengan tanggapan bahawa kehidupan mewah penentu kejayaan hidup. Mereka seharusnya berusaha untuk mencari kehidupan bermutu dengan segala usaha yang dicurahkan ketika mencari ilmu pengetahuan kerana mereka berpendidikan dan mampu menggapai cita-cita jika sanggup berusaha keras.

“Setiap keputusan diambil dalam aspek memilih jodoh perlulah lahir daripada perasaan yang jujur dan ikhlas tanpa paksaan atau dorongan yang dikaburi dengan kebendaan, sekali gus tidak timbul prasangka terhadap pasangan kelak. Ingatlah, kebahagiaan bukan terletak pada kebendaan semata-mata, tetapi cara kita melihat kehidupan itu sendiri,” katanya.

FAKTA NOMBOR

Kajian Pemilihan Lelaki Berusia dan Berharta Sebagai Pasangan Hidup –
Kenyataan atau Kebetulan?

65% – Memilih lelaki berusia dan berharta pada peringkat umur 40 hingga 50 tahun.
12% – Memilih lelaki berusia dan berharta pada peringkat usia 51 hingga 60 tahun.
13% – Responden menjawab tidak pasti dengan pemilihan.
10% – Responden memilih TIDAK akan memilih lelaki berusia dan berharta.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: