Lelaki tua lebih romantik’

Berita Harian 21 Feb 2007
Lelaki tua lebih romantik’
Oleh Khairunnisa Kamarudin

Masyarakat semakin menerima wanita muda mencintai pasangan berusia

KUALA LUMPUR: Masyarakat semakin terbuka dan tidak lagi menyalahkan wanita muda yang minat menjadikan lelaki tua sebagai suami kerana berpendapat setiap individu mempunyai hak menentukan masa depan masing-masing.

Tinjauan sekitar Lembah Klang mendapati mereka yang ditemui tidak kisah dengan ‘selera’ wanita muda terhadap lelaki tua asalkan mereka tidak mengganggu-gugat rumah tangga orang lain.

Pegawai pemasaran, Irwan Hamdi Mawardi, 30, berkata terpulang kepada individu tetapi jika boleh jangan sampai mengganggu gugat rumah tangga orang lain.

“Saya tak kisah jika ramai wanita memilih lelaki tua selagi mereka tidak buat orang lain bercerai-berai sudahlah,” katanya di sini.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan satu kajian Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mendapati majoriti pelajar wanita institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan lebih suka memilih lelaki berusia dan berharta sebagai pasangan hidup kerana mahu mencari kemewahan segera.

Kajian itu mendapati kira-kira 65 peratus pelajar IPT berusia antara 21 hingga 28 tahun memilih lelaki kaya berusia 40 hingga 50 tahun untuk dijadikan pasangan hidup masing-masing.

Kajian itu mencetuskan banyak kontroversi berikutan kebimbangan cita rasa wanita kini semakin berubah dan dikhuatiri menimbulkan masalah sosial.

Pelajar jurusan Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Firdaus Mohd Hanafiah, 24, berkata ada wanita yang ingin lelaki tua dan berharta menjadi pasangan hidup kerana menyangka lelaki muda tidak romantik dan kurang memberi komitmen dalam perhubungan.

“Lelaki muda biasanya lebih cenderung mencari teman wanita untuk bersuka ria, tetapi lelaki tua inginkan hubungan serius kerana mereka lebih matang,” katanya.

Sementara itu, jururawat, Zainab Zainal, 50, berpendapat ia perlu boleh diteliti dari sudut positif dan negatif kerana membabitkan pelbagai pihak serta bergantung kepada individu untuk membuat keputusan.

“Dari sudut negatifnya, wanita yang memilih lelaki tua sebagai suami berisiko mengalami kepincangan rumah tangga jika lelaki itu suami orang dan seterusnya mengalami perceraian.

“Jika diteliti daripada sudut positif pula ramai lelaki berusia lebih matang membuat keputusan, kewangan stabil dan pandai mengambil hati. Kita juga perlu melihat kepada keperluan material yang menuntut seseorang berbuat apa saja demi wang,” katanya.

Pegawai Eksekutif, Johar Alimon, 46, berkata tidak semua wanita memilih lelaki tua sebagai teman hidup dan ia bergantung kepada setiap individu.

“Kebanyakan yang memilih lelaki tua inginkan kehidupan stabil dan menikmati kesenangan tanpa perlu bersusah payah,” katanya.

Pegawai bank, Rosilawati Rosman, 45, berkata kebanyakan pelajar IPT sudah matang untuk memilih lelaki berumur dan jika lelaki itu boleh membimbing dan stabil daripada segi kewangan ia tidak menjadi kesalahan.

“Ramai lelaki muda tidak begitu matang dan belum stabil daripada segi kewangan. Ini punca ramai perempuan beralih angin mencari seseorang yang sudah lengkap untuk menjamin masa depan mereka.

“Sebagai ibu, saya sendiri tidak menggalakkan anak berkahwin lelaki sebaya. Sebaiknya biar lebih tua lima tahun dan semestinya bujang,” katanya.

Pengurus kilang, Hassan Pawanchek, 47, pula berkata, wanita tidak sewajarnya memilih lelaki berusia semata-mata untuk harta kerana tidak semua lelaki muda tidak matang dan kurang stabil.

“Kebanyakan lelaki tua juga bermula dari bawah sama ada dari segi kerjaya dan kedudukan dalam masyarakat.

“Oleh itu, pelajar IPT tidak sepatutnya mengukur kebahagiaan dan menentukan masa depan mereka hanya dengan mengahwini lelaki tua,” katanya.

Perkembangan itu dikhuatiri menyebabkan ramai lelaki muda menjadi bujang tua, sedangkan orang tua berada laris.

Keadaan itu juga boleh menyebabkan orang tua cenderung menjadikan gadis sebagai isteri muda mereka.

2 Komen »

  1. shueqry said

    asmkm, saya bru trjumpa di blog ini melalui Google. Wow! blog motivasi yang bagus!

    saya juga menulis mengenai motivasi setiap hari, saya sungguh kagum dengan awak. Teruskan bermotivasi!

  2. Zamri Mohamad said

    Terima Kasih saudara Shueqry. Insya Allah kalau berpeluang kita jumpa di PWTC pada 2 Mei ya!

RSS feed for comments on this post · TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: