Etika masyarakat dan pengaruh penulisan

Soalan dari pelajar Universiti Putram Malaysia (UPM) saudari Yu Lit Ling

Pandangan tuan mengenai pegangan etika masyarakat.

      Kita menjawab persoalan ini dari dua sudut. Pertama dari logik akal dan kedua dari sumber nas Quran dan Sunnah.

      Apabila saudari bertanyakan pegangan etika masyarakat, ini mengingatkan saya kepada apa yang disebut oleh Ibn Khaldun dalam bukunya Mukaddimah. Etika masyarakat sangat mempengaruhi perkembangan dan kejatuhan sebuah tamadun. Etika diertikan oleh beberapa ahli falsafah dan pemikir sebagai proses akal dalam mencari kebahagiaan, penentuan baik dan buruk, norma dan kaedah mengurus hidup.

      Banyak tamadun dunia sebagaimana catatan Ibn Khaldun menyebutkan puncak tamadun dan kejatuhan bermula apabila wujud unsur-unsur ganjil dalam pembentukan etika masyarakat yang merosakkan tamadun itu sendiri.

      Eksperimen perhubungan sosial yang diamalkan menjadikan tamadun hilang teras dan ia mewujudkan keretakan nilai kerana tidak ada unsur kawalan. Saya memetik pandangan rakan saya berkenaan isu ini dari sudut psikologi. Muhammad Syarafudin Sulaiman penulis buku Akademi Kehidupan menyebutkan eksperimen seksual dalam tamadun-tamadun terdahulu memberi kehancuran yang bukan sedikit dalam masyarakat.

      Masyarakat Arab Jahiliyah mengamalkan perkahwinan poliandri dalam masyarakat. Seorang perempuan dengan ramai lelaki. Kesan dari sudut psikoloi menjadikan wanita yang diperisterikan lebih dari seorang lelaki sangat teruk lebih-lebih lagi anak yang dilahirkan tidak diketahui siapakah bapanya.

      Kemudian isteri yang berkahwin dibenarkan untuk ditiduri oleh lelaki dari golongan aristokrat. Logik mereka agar isterinya mendapat keturunan yang lebih baik dan sihat. Ini belum mengambil kira betapa teruknya amalan membunuh anak-anak perempuan yang dianggap membawa sial.

      Ini adalah pegangan etika masyarakat dalam tamadun yang didukung oleh masyarakat Arab Jahiliyah. Apa sahaja yang contoh saya utarakan tadi bersandarkan kepada kepercayaan mereka bahawa itu adalah moral yang dibenarkan, tidak salah dari sudut etika dan menjadi kebiasaan yang diterima ramai.

      Amalan membunuh anak-anak perempuan yang dianggap membawa sial dijustifikasikan dalam dunia moden dengan pengistilahan semula agar ia kelihatan rasional dan diterima rakyat. Ia mungkin disebut dengan istilah perancangan kelahiran negara bagi mengawal sumber makanan negara. Ia dikuatkuasakan dengan undang-undang dan dirasionalkan dengan memberi gambaran ia untuk kebaikan rakyat dan ia perlu diterima sebagai kod etika bagi membantu negara.

      Lama kelamaan ini menimbulkan masalah semula kepada pemerintah negara apabila berhadapan dengan kekurangan penduduk. Mahu tidak mahu, pelbagai cara menggalakkan pertambahan penduduk dibuat dengan menawarkan insentif. Apa yang dirasakan benar oleh pemerintah dan menjadi etika kepimpinan kini menemui jalan buntu.

      Dalam sejarah ekonomi dunia, seorang pemerhati dan penganalisa ekonomi Barat pernah mengeluarkan idea gila dengan menyarankan agar penduduk dunia bukan berbangsa Eropah perlu dikurangkan jumlah (melalui kematian) agar penduduk Eropah mendapat sumber makanan yang cukup.

      Apabila etika didefinisikan melalui akal, maka inilah hasilnya. Otak bukan kuasa mutlak, ia mempunyai had dan kekurangan. Peranan agama yang menjernihkan keadaan sangat diperlukan bagi memberi satu dasar yang tidak berubah dan kekal bagi memberi peraturan jelas apakah yang dimaksudkan dengan etika.

      Etika dikembangkan dalam masyarakat memerlukan gabungan kedua-duanya. Agama dan akal. Faktor ketuhanan tidak dapat dipisahkan jika ingin membentuk etika yang betul dalam masyarakat. Kerana itu Islam meletakkan Quran dan Sunnah sebagai sumber awal dan penimbang tara dalam menentukan sama ada ia etika masyarakat perlu diperbaiki atau dikekalkan.

      Peranan cerdik pandai Islam atau dikenali sebagai ulama bekerjasama dengan cerdik pandai dan pakar dalam pelbagai bidang untuk duduk berbincang dan menghasilkan satu aturan sosial yang menguntungkan semua pihak dan memberi keadilan kepada semua pihak.

      Robert T Kiyosaki penulis buku kebebasan kewangan Rich Dad Poor Dad meletakkan dua faktor yang menyebabkan nilai etika dan cara hidup manusia berubah. Pertama, buku yang dibaca. Kedua, rakan yang didampingi.

      Ini adalah satu faktor semulajadi dan menjadi kehebatan Allah dalam menyusun piramid hidup manusia. Jika kita melihat dari kacamata Islam., faktor buku sebagaimana ditekankan oleh Robert T Kiyosaku itu sinonim dengan kitab Quran.

      Quran memberi idea, gagasan, aturan dan saranan dalam mengembangkan etika masyarakat yang ideal. Ia juga berkait rapat dengan bahan bacaan yang dibaca baik berbentuk buku, majalah atau akhbar yang menjadi pembentuk falsafah hidup kita.

      Kedua, rakan yang didampingi dilihat sebagai model ikutan. Seperti yang saya sebutkan, Sunnah atau amalan nabi Muhammad adalah keperluan dalam mengembalikan hubungan etika masyarakat yang stabil dan konsisten.

      Rakan dalam definsi ini juga disinonimkan dengan individu-individu yang memberi perubahan besar kepada fahaman kita tentang maksud etika. Ia mungkin ibu, bapa, rakan, pemimpin dan wartawan sendiri.

      Saya tertarik dengan kisah yang saya petik dari buku Jeniri Amir, Belajar Menjadi Wartawan. Suatu hari Confucius ditanya oleh seseorang, “Apakah yang pertama anda lakukan ketika anda harus mengurus negara?” “Tentulah meluruskan bahasa,” jawab Confucius.

      Orang itu tercengang, kehairanan, lalu melontarkan soalan susulan, “Mengapa?”

      “Jika bahasa tidak lurus,” jawab Confucius, “apa yang dikatakan bukanlah apa yang dimaksudkan, apa yang seharusnya dilakukan tetaplah tidak dilakukan. Jika tidak dilakukan moral dan seni akan merosot; dan jika moral dan seni merosot, keadilan pun tidak akan jelas arahnya. Jika keadilan tidak jelas arahnya, rakyat akan bingung. Justeru, kita tidak boleh bercakap atau menulis sesuka hati. Inilah yang penting.”

      Apa pentingnya kisah ini ialah etika masyarakat kembali kepada tanggungjawab diri untuk menyebarkan fahaman dan kepercayaan yang jelas hala tuju dan sumbernya. Hari ini etika masyarakat turut dipengaruhi dengan apa yang dipaparkan dalam media.

      Apabila kisah buruk artis dijaja sana sini dari kes bersekedudukan, penceraian, perselisihan dengan teman lelaki dan seumpamanya, masyarakat yang membaca dan menonton mencipta definisi hidup bahawa kisah-kisah buruk ini bukan kejelikan dan tidak mengejutkan kerana ia adalah sebahagian daripada gaya hidup hari ini.

      Sejarah menunjukkan etika masyarakat sentiasa melalui proses tarik menarik. Satu golongan yang sangat proaktif menggerakkan etika masyarakat berlandaskan budaya dan agama secara tradisional.

      Satu golongan pula menggerakan etika masyarakat berlandaskan budaya dan agama yang memberi kesesuaian zaman mengikutinya.

      Satu golongan lagi menggerakkan etika masyarakat dengan meperkenalkan perubahan demi perubahan mengikut keperluan semasa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: