Penulisan bukan benda baru

Soalan dari pelajar Universiti Putram Malaysia (UPM) saudari Yu Lit Ling 

Pandangan tuan mengenai profesion penulisan di Malaysia.

      Profesion penulisan di Malaysia seringkali kelihatan sebagai sesuatu yang bersifat baru. Ia kelihatan baru kerana kerjaya ini diketengahkan dalam media tidak sehangat mempromosikan industri hiburan. Realiti menunjukkan profesion ini telah kita lihat perkembangannya sejak sebelum kemerdekaan lagi.

      Perkembangan akhbar-akhbar sebelum merdeka yang menyuntik semangat patriotisme, nasionalisme dan semangat cintakan agama merupakan ruang yang digunakan oleh para penulis dalam menyampaikan pemikiran mereka. Penggunaan nama samaran pada masa itu bukanlah bagi tujuan komersial seperti yang kita lihat pada hari ini.

      Sikap penjajah yang sangat berhati-hati dengan perkembangan media cetak tempatan yang sangat anti Inggeris menjadikan para penulis tempatan menggunakan nama samaran bagi melindungi identiti.

      Awal perkembangan profesion penulisan di Malaysia lebih bersifat kepada penyebaran nilai perjuangan dan perkembangan agama serta penyusunan struktur sosial yang lebih sistematik melalui idea-idea penulis.

      Budaya novel yang semakin berkembang menjadi platform untuk penulis muda mencurahkan daya kreativiti mereka dalam bentuk penulisan. Industri novel tempatan pada beberapa tahun sebelum ini menyaksikan sejumlah penulis yang memperolehi royalti yang mencapai puluhan dan ratusan ribu ringgit setahun.

      Fanomena ini saya lihat sendiri apabila penulis novel seperti Ahadiat Akashah pernah memperolehi jualan ratusan ribu ringgit sekitar pertengahan dan akhir tahun 1990an. Kartunis Ujang yang menghasilkan novel JIBAM juga menunjukan angka yang tinggi. Novel JIBAM yang telah diulang cetak telah mencapai angka jualan sebanyak 250 000 naskhah dan kini ia telah difilemkan.

      Perkembangan terbaru menunjukkan buku-buku dalam bahasa Melayu dan Cina meningkat dari sudut permintaan. Ia dapat dilihat dari sudut kedai buku itu sendiri.

      Saya dapat melihat pertukaran corak pemasaran kedai-kedai buku di Kuala Lumpur dan Melaka. Mereka kini lebih mengutamakan meletakkan judul-judul buku dalam bahs Melayu dan Cina di ruang utama berbanding buku-buku bahasa Inggeris.

      Terdapat kejatuhan dari sudut jumlah jualan buku Bahasa Inggeris dalam pelbagai genre. Ini disuarakan sendiri oleh pengusaha toko buku utama di negara ini. Mengatakan buku dalam bahasa Inggeris semakin meningkat dari segi jualan bersifat andaian dan tidak dibuktikan kebenaranya.

      Meningkatnya permintaan buku-buku bahasa Melayu dalam pelbagai genre membuka ruang kepada penulis-penulis baru untuk berkarya dan membentuk profession mereka sebagai penulis.

      Jangan dilihat menjadi penulis sebagai kerjaya kelas kedua. Ini adalah anggapan yang perlu dibuktikan tidak benar dengan merancang kejayaan melalui buku-buku yang benar-benar memenuhi permintaan pembaca. Kini penerbit-penerbit sendiri mengadakan kursus-kursus penulisan bagi membimbing para penulis baru.

      Jeniri Amir adalah contoh penulis bebas yang berjaya. Pendapatan beliau melalui penulisan di akhbar dan majalah sahaja sudah menjangkau dua hingga tiga ribu ringgit sebulan.

      Menulis untuk keperluan kedua-dua medium ini tidak bersifat konsisten. Maka penulisan buku pula menjadi sebahagian budaya penulisan beliau. Pembayaran royalti tahunan melalui jualan buku dirancang menjadi sumber pendapatan tetap beliau selain daripada menjadi tenaga pengajar di sebuah universiti.

      Saya berkesempatan menemui Azizi Ali penulis siri buku kewangan dan hartanah Malaysia. Dalam seminarnya Millionaire In Me beliau mengkategorikan penulisan buku sebagai salah satu cara mencipta pendapatan pasif.

      Pasif di sini bermaksud kerja tersebut dilakukan sekali tetapi dari sudut pendapatan yang diperolehi berkali-kali. Buku-buku Azizi Ali yang berada dipasaran melebihi 10 buah buku telah menjana pendapatan beliau sejak kali pertama diterbitkan sehingga kini.

      Mengapa profesion penulisan dilihat tidak begitu meyakinkan kerana budaya mengurus kejayaan kerja itu sendiri. Situasinya sama sahaja seperti artis yang bernanung di bawah mana-mana syarikat rakaman. Peranan pengurus, penerbit, pegawai pemasaran yang mengangkat album artis berkenaan terlaris jualan di pasaran.

      Penulis juga berada dalam situasi yang sama. Penulis-penulis baru sangat teruja untuk melihat buku mereka diterbitkan. Tetapi mereka perlu memilih penerbit yang sama-sama dapat merancang kejayaan buku itu.

      Selain itu penulis-penulis baru tidak memahami undang-undang hakcipta. Bayangkan, mereka menandatangani perjanjian tanpa memahami kesan perjanjin tersebut kepada mereka.

      Misalnya, saudari menandatangani perjanjian penerbitan buku yang menyatakan penerbit memegang hak penerbitan dan hakcipta buku saudari tanpa menyatakan tempoh perjanjian.

      Hakcipta jangan diserahkan kepada mana-mana penerbit. Ia adalah hak milik penulis. Pabila hakcipta diserahkan, penulis tidk boleh membut apa-apa tuntutan Cuma serahkan hak penerbitan dengan tempoh hak tersebut diberikan.

      Kedua dari sudut pembayaran. Ramai penulis baru terperangkap dengan jumlah wang yang besar. Bayangkan seorang penerbit menawarkan saudari RM10,000 sebagai bayaran bagi manuskrip yang diserahkan kepada penerbit bersama-sama hakciptanya. Buku yang saudari serahkan dicetak kali pertama sebanyak 2000 naskhah dengan harga RM20 terjual laris di pasaran.

      Jika saudari mengambil pembayaran secara royalti, saudari mungkin mendapat 10 peratus royalti bagi setiap buku. Ia bermaksud saudari memperolehi sekitar RM4,000 sahaja. Sekali pandang memang jumlah ini kecil buat kali pertama.

      Bayangkan jika buku tersebut diulang cetak dengan jumlah jualan yang sama. Penerbit mengaut untung lebih banyak berbanding jumlah pembayaran kali pertama dan terakhir yang saudari terima awal-awal.

      Penulis buku bertaraf terlaris di dunia seperti Man from Mars, Woman from Venus oleh Dr John Gray, Harry Potter oleh JK Rowling dan siri Chicken Soup for Soul ditawarkan pembayaran royalti oleh penerbit.

      Profesion ini lebih kepada pengurusan bakat. Ia sentiasa berkembang dan memerlukan kemahiran-kemahiran baru untuk mengasah bakat yang sedia ada. Apabila saya mengendalikan bengkel-bengkel penulisan remaja, perkara wajib yang saya tekankan kepada peserta ialah memiliki blog.

      Melalui blog, mentor dapat melihat perkembangan penulisan mente-mentenya dan ia adalah latihan melancarkan pengurusan maklumat bagi mengeluarkan idea-idea.

      Kini saya dalam proses menjadikan mente-mente yang terdiri daripada pelajar universiti sebagai penulis bersama dalam siri-siri buku yang saya hasilkan sebagai memberi pendedahan awal kerjaya sebagai penulis bebas.

      Penulisan juga dilihat sebagai pemudahcara ilmu. Apabila pertama kali saya melibatkan diri dalam penulisan buku, saya melihat satu situasi apabila bahan-bahan akademik melalui tesis sarjana dan jurnal seakan-akan dibuat khusus bagi tujuan universiti dan para ahli akademik semata-mata. Ia hidup sebagai bahan bacaan dan rujukan perpustakaan. Amat sedikit sekali pelajar-pelajar menjadikan bahan bacaan berat ini sebagai bahan bacaan kegilaan mereka.

      Di Eropah dan Amerika Syarikat, para pensyarah menambil inisiatif mereka sendiri untuk menulis semula tesis sarjana mereka kepada versi akademik dan versi bacaan umum. Jika John Gray masih kekal dengan penulisan akademiknya semata-mata, buku terlaris antarabangsa Man from Mars, Woman from Venus akan terus kekal sebagai bahan bacaan berat selama-lamanya.

      Ini menggerakkan saya mengambil peluang membaca dan mentafsir bahan-bahan bacaan berat tersebut dan kemudian mengadaptasi semula dalam bahasa umum. Ketiga-tiga buku yang saya hasilkan berkaitan perhubungan dan cinta dikembangkan dari sumber-sumber ini.

      Zaman universiti adalah waktu untuk mengambil peluang untuk mengembangkan ilmu-ilmu asas kepada masyarakat yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti.

      Awal profesion saya sebagai penulis banyak mengguna pakai nota-nota pensyarah yang disusun semula sebagai artikel bersiri untuk akhbar dan majalah. Ia berkembang menjadi profesion sambilan yang memanfaatkan sumber sedia ada.

      Budaya penulisan di Malaysia harus mengikuti jejak langkah penulis-penulis di Jepun dan Amerika. Di negara Jepun, orang awam yang tidak mempunyai latar belakang penulisan mengabadikan kisah hidup mereka dalam autobiografi. Mereka menulis sendiri catatan hidup mereka dan fanomena karya-karya seperti ini membawa peralihan budaya ilmu masyarakat Jepun yang memberangsangkan.

      Autobiografi orang-orang kecil atau jibunsyi ini membawa kepada terbinanya perpustakaan khusus yang mengumpulkan karya-karya jibunsyi. Karya-karya jibunsyi sangat penting dan menjadi sumber rujukan pakar psikologi dan sosiologi Jepun bagi mengkaji corak masyarakat mereka.

      Perkembangan jibunsyi di Malaysia menyaksikan kemunculan novel-novel kisah benar yang ditulis oleh penulisnya sendiri seperti Ashadi Zain dengan novelnya, Dari Kepala Batas Ke New Haven, Tegar oleh

      Di Amerika, korporat-korporat mula menggalakkan para pekerjanya dari pekerja sokongan sehinggalah lembaga pengarah untuk mencatat perjalanan hidup mereka bersama-sama badan korporat yang disertai. Ini merupakan dokumentasi ilmu yang sangat penting bagi kepentingan korporat itu sendiri. Setiap catatan dikumpul dan dibukukan malah dikomersialkan sebagaimana dilakukan oleh jutawan hartanah Donald Trump dan pengasas Oracle, Larry Olysen.

      Trump 101 adalah contoh buku yang dihasilkan melalui himpunan penulisan blog tokoh hartanah New York ini. Bayangkan jika seorang pensyarah, guru, kerani, pembantu makmal, kaunselor atau pekebun melakukan daya usaha yang sama seperti Trump dan rakan-rakannya, berapakah jumlah buku dalam bahasa tempatan dapat dihasilkan, berapakah kadar royalti sebagai sumber pendapatan dapat dikumpul dan dalam berapa bahasakah buku itu akan diterjemahkan.

      Paling penting, berapa banyakah ilmu dan pengalaman kita dalam pemikiran tempatan dapat merentasi sempadan negara dan diambil faedah apabila ia dicatatkan.

      Menjadikan penulisan sebagai profesion sepenuh masa di Malaysia sedang berkembang dan menjadi perhatian ramai. Tetapi ia perlu kepada peraturan-peraturan asas untuk menjadi penulis bebas yang konsisten.

      Asas pertama ialah tidak menjadikan budaya menulis untuk membuktikan kesalahan orang lain. Menurut Pengarah PTS Publication, Ainon Mohd sindrom psikologi si pandai sering menjadi perangkap kerja yang membantutkan perkembangan dan produktiviti penulis.

      Sindrom psikologi si pandai berlaku apabila penulis berkarya semata-mata untuk membuktikan diri penulis lebih tahu, lebih faham, lebih pakar dan menonjolkan kesalahan orang lain. Kesannya, emosi dan isi kandungan yang terkumpul dalam buku seperti ini tidak bersifat mesra pembaca.

      Asas kedua, memahami menulis bukan sahaja profesion untuk mencipta pendapatan semata-mata. Setiap karya yang ditulis harus mempunyai matlamat dan perjuangan tersendiri. Perjuangan mendapatkan keredhaan Allah, memberi manfaat dan kepuasan kepada para pembaca dengan nilai ilmu yang baik dan boleh dipraktikkan harus diisi dalam alasan seseorang untuk menjadi penulis.

      Asas ketiga, menjadi penulis perlu kepada sikap bijaksana dengan membuat pelaburan kepada diri. Pelaburan yang menguntungkan ialah dengan memperolehi bahan-bahan bacaan yang bagus dan membantu pengkaryaan. Tubuh memerlukan makanan bagi berfungsi secara normal, roh memerlukan rasa bertuhan untuk terus bernyawa dan fikiran penulis memerlukan ilmu untuk terus berkarya.

      Asas keempat, sedar bahawa menjadi penulis memerlukan kepada perancangan. Merancang kejayaan buku dan kejayaan hidup sebagai penulis adalah intipati bagi memastikan stamina penulis tidak berhenti di tengah jalan.

      Asas kelima, profesion penulis memerlukan diri untuk berfikir lebih dari satu peranan. Penulis bukan sekadar berkarya, penulis juga seorang penerbit, editor, pegawai pemasaran dan pembaca. Apabila penulis meletakkan dirinya ke dalam peranan-peranan tersebut, karya yang dihasilkan akan sehampir boleh mencapai nilai yang diperlukan dalam pasaran.

1 Komen »

  1. Penulis said

    Situs pertemanan makin banyak bertebaran di internet. Dari sekian banyak nama, friendster, adalah satu nama yang paling populer. Sebab, dari situs ini, kita bisa banyak mendapat teman, dan bahkan mencari teman yang sudah lama tidak berhubungan dengan kita. Situs pertemanan, bagi sebagian orang memang telah menjadi semacam media yang sangat menyenangkan. Selain bertemu teman, berkenalan, hingga saling mengirimkan undangan pertemuan, menjadikan media ini bukan sebatas media maya belaka.

    Nah, bagi yang mempunyai hobi sama, situs pertemanan bisa jadi juga memberi kemudahan untuk saling bertukar informasi, Salah satu situs petemanan khusus satu hobi ini bisa ditemui di Penulis-Indonesia.com. Seperti namanya, situs pertemanan ini memang hendak mengumpulkan jaringan para penulis di seluruh Indonesia yang tersebar di berbagai penjuru dunia.

    Menulis, belakangan memang menjadi sebuah fenomena yang makin berkembang di Indonesia. Makin banyak bermunculan penulis berbakat di tanah air yang tak hanya berbicara di tingkat lokal. Sebab, ada pula yang telah berhasil di ranah internasional. Hebatnya lagi, penulis di Indonesia itu sangat variatif usia pegiatnya, dari anak kecil hingga usia dewasa.

    Dengan situs pertemanan Penulis-Indonesia.com, para penulis ini hendak dikumpulkan dalam satu wadah pertemanan untuk saling dukung, saling dorong, saling bina, saling bantu, hingga suatu saat nanti, akan makin banyak penulis berkelas internasional di Indonesia. Tentunya, harapan ini bukan harapan kosong belaka. Sebab, hanya dengan kekuatan pertemanan dan relasi, kita bisa saling bantu menumbuhkembangkan dunia kepenulisan ini. Jadi, siap bergabung di PenulisIndonesia.com?

RSS feed for comments on this post · TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: