Hasrat Hanif kahwini gadis Orang Asli akhirnya tercapai

Utusan Malaysia 7 Mei 2007 

Hasrat Hanif kahwini gadis Orang Asli akhirnya tercapai
Oleh Norila Daud

Mohd. Hanif Tumon bersama Nur Alia Amirah.

dn_01_big.jpg

GOMBAK 6 Mei – Setelah tiga tahun terhalang cinta mereka ekoran tentangan ibu bapa pihak lelaki, akhirnya pasangan Mohd. Hanif Tumon, 24, dan gadis Orang Asli, Nur Alia Amirah Mohd. Hafiz, 22, selamat menjadi suami isteri.

Perubahan berlaku setelah ibu bapa Mohd. Hanif terbuka hati selepas menonton program Forum Perdana terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM1) yang membincangkan isu kahwin campur.

Mohd. Hanif yang bekerja sebagai mandur di Bangi dan berasal dari Skudai, Johor berkata, hubungan cintanya dengan Nur Alia sejak tiga tahun lalu mendapat tentangan keluarganya.

‘‘Kami menjalin hubungan berdasarkan cinta pandang pertama ketika bertemu di Perkampungan Orang Asli Batu 12, Gombak,’’ katanya kepada pemberita selepas majlis perkahwinan beramai-ramai mualaf Orang Asli di Kampung Orang Asli Ulu Kuang di sini hari ini.

Menurutnya, dia berkahwin dengan Nur Alia kerana inginkan kelainan dari segi perbezaan budaya dan keturunan di samping perasaan cinta yang mendalam.

Mereka bernikah pada Disember tahun lalu.

‘‘Pada awal-awal lagi seluruh anggota keluarga termasuk ibu bapa saya menentang perhubungan kami.

‘‘Bagaimanapun, setelah ibu bapa saya menonton Forum Perdana yang membincangkan tentang baik buruk kahwin campur dari sudut Islam barulah mereka terbuka hati merestui perhubungan kami,’’ kata Mohd. Hanif.

Mohd. Hanif dan Nur Alia adalah antara sembilan pasangan pengantin mualaf Orang Asli yang diraikan dalam majlis persandingan beramai-ramai.

Pada majlis itu, pasangan lain telah dinikahkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak, Daim Jajuli.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang, Soohaimi Abdul Rahman telah merasmikan majlis pernikahan dan persandingan beramai-ramai itu yang dianjurkan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Sementara itu, pernikahan gadis Orang Asli, Juliza Abdullah, 22, dengan pemuda Melayu, Mohd. Al-Akkhiri Borhan, 28, turut mendapat tentangan ibu bapanya.

Juliza yang bekerja di sebuah kilang di Keramat dekat sini, berkata, dia telah menjalin hubungan dengan Mohd. Al-Akkhiri, seorang penjaga stor, sejak berusia 14 tahun.

Menurut Juliza, bapanya menentang kuat hubungan mereka kerana khuatir apabila berkahwin dia terpaksa memeluk Islam dan mengikut suaminya.

‘‘Setelah sekian lama memujuk bapa, akhirnya dia membenarkan saya menganut Islam untuk berkahwin dengan Mohd. Al-Akkhiri,’’ katanya.

Sementara itu, pasangan Mustafa Ab dullah dan Hanum Abdullah serta Mohd. Farid Abdullah dan isterinya Fatimah Tahir, yang masing-masing mempunyai lima orang anak sebelum memeluk Islam, hari ini dinikahkan mengikut cara Islam.

Turut dinikahkan ialah pasangan Omar Abdullah dan Shafina Angan serta Muhammad Ela Abdullah dengan isterinya Rosmawati Abdullah, masing-masing mempunyai seorang anak.

Omar berkata, dia memilih Islam kerana ia adalah agama yang baik.

‘‘Saya dapati agama Islam mempunyai kelainan dan banyak membantu saya memperoleh kesabaran dan ketenangan jiwa,’’ katanya.

Dalam perkembangan lain, Daim Jajuli berkata, JAIS telah meraikan pernikahan dan persandingan tiga pasangan mualaf Orang Asli pada tahun 1996.

Menurutnya, pernikahan sembilan pasangan hari ini merupakan satu sejarah bagi perkampungan tersebut.

Katanya, di lapan perkampungan Orang Asli di daerah Gombak, kira-kira 400 daripada 800 orang penduduknya telah memeluk Islam.

Katanya, lima daripada lapan tok batin perkampungan Orang Asli sekitar Gombak telah menganut Islam.

1 Komen »

  1. kameloen said

    good article to reading

RSS feed for comments on this post · TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: