Penulis Bebas Jangan Bunuh Peluang!

Menjadi wartawan dan penulis bebas, ia tidak bermakna kita BEBAS untuk melakukan apa-apa sahaja. Dalam kerangka kerjaya wartawan dan penulis bebas, adalah lebih baik untuk kita membaca buku-buku karangan Imam Al Ghazali tentang adab dan perhubungan manusia. Beberapa tip yang saya kutip daripada bakal pengamal bidang Perhubungan Awam (PR) beberapa hari yang lalu.

Tip-tip ini sempat saya kutip apabila individu ini bercadang menghantar surat kepada badan perhubungan awam sebuah institusi pendidikan dan organisasi yang diwakili oleh penulis bebas terhadap beberapa perkara yang kurang disenangi penganjur dan VIP. Mujurlah, ia masih diperingkat cadangan. Berikut adalah tip-tip yang penting sebagai peringatan untuk diriku sendir dan sesiapa sahaja.

1. Seandainya kita mendapati terdapat kesalahan dan kesilapan dalam program yang dianjurkan, jangan teruja untuk membetulkan kesilapan penganjur tersebut. Alamatnya, itulah kali pertama dan terakhir mereka mengalu-alukan kehadiran kita untuk membuat liputan bagi programnya.

2. Mungkin ada yang akan bertanya, jika salah bukankah harus di perbetulkan? Jawabnya, selagi mana kita tidak berjaya membentuk hubungan yang baik dan berterusan dengan penganjur, komen-komen kita lebih kelihatan seperti memperkecilkan usaha mereka.

3. Jika ingin memberi komen terhadap program sekalipun, pastikan ia sampai dan diterima sebagai komen dari ‘kawan kepada kawan’ bukan dari ‘pengkritik kepada penganjur.’ Kata Dato Dr Fadzilah Kamsah, “Tujuh kali puji, satu kali tegur”. Selagi mana pembinaan hubungan tidak akrab, elakan membuat teguran baik tertutup atau terbuka. Tukarkan pendekatan menegur kepada mencadang.

4. Nasihat mentor saya, Puan Ainon Mohd (Sifu PTS) ketika kali pertama saya diwawancara akhbar tempatan “Jangan kerana kesalahan bernilai sepuluh sen, kita hilang peluang bernilai sepuluh ringgit.”

5. Meskipun penganjur gembira dengan kehadiran kita sebagai penulis dan wartawan bebas atas liputan yang diberi, ia bukanlah lesen untuk kita berbuat sesuka hati. Letak anggapan bahawa mereka adalah individu-individu yang harus dihormati dan dirai, jemputan mereka adalah penghargaan kepada kita. Elakan dengan berfikir, “Kalau aku tidak ada, jangan harap penganjur dapat publisiti.”

6. Apabila datang ke majlis anjuran orang lain, datanglah dengan senyuman dan sapaan mesra. Meskipun kita terasing dan tidak dikenali ditempat itu jangan pula kelihatan hendak menjauhkan diri dan membuat hal sendiri. Jika ada yang memandang kita, senyum dan salam. Hampiri individu tersebut dan bentuk perbualan ringkas secara terhormat.

7. Adakah saudara pertama kali menjadi wartawan bebas dan artikel-artikel saudara masih belum mendapat tempat dalam mana-mana penerbitan? Bertindaklah secara sederhana dalam mana-mana program untuk mendapatkan berita dan kekalkan adab sosial. Orang lebih mengenali kita sebagai individu sebelum mengenali hasil penulisan kita.

8. Sekiranya kita memakai tag pengenalan yang mewakili mana-mana jabatan sama ada yang menghasilkan penerbitan tersendiri atau kita menulis bagi mana-mana majalah. Ingatan paling penting, tingkah laku kita akan memberi kesan ke atas penerbitan yang diwakili meskipun kita mengatakan, “Saya penulis bebas”. Jika negatif responnya, percayalah perbuatan kita akan menutup peluang orang lain dari agensi yang sama untuk membuat liputan pada masa akan datang.

9. Setiap program mempunyai kesan berangkai (chain reaction). Jika hari ini si A membuat program bulan ini, kemungkinan besar program yang dianjurkan B oleh organisasi lain pada bulan seterusnya ada kaitan antara satu sama lain. Kaitan sama ada penganjur si A dan si B merupakan rakan, pernah mengendalikan program bersama, kedua-duanya bergerak atas platform yang sama dan seterusnya. Jika baik respon penganjur A terhadap kita, maka si B lebih suka dan gembira melihat kita sebagai penulis bebas datang membuat liputan di tempatnya.

10. Jangan bunuh peluang! Kesilapan penulis dan wartawan bebas yang baru terlibat dalam dunia ini ialah menyangka “Kalau aku tidak ada dia pun rugi…” Sangka kita bahawa kita satu-satunya wartawan bebas yang boleh membuat liputan untuk programnya hanya akan membunuh karier kita sendiri.

Masih ramai di luar yang ingin mengambil peluang kita. Meskipun mereka mungkin tidak sebagus kita dalam penulisan, tetapi kerana adab sosialnya bagus dan disenangi, wartawan bebas yang kurang mahir dalam pandangan kita inilah yang bakal mendapat banyak peluang berbanding lain.

11. Elakan bersikap defensif keterlaluan terhadap penganjur. Ada penganjur yang bersikap terus terang dengan wartawan bebas jika tidak kena pada caranya. Kebiasaanya, mereka akan menghubungi secara peribadi bagi menjaga air muka kedua-dua belah pihak. Jika mereka minta bertemu secara baik, sahut secara baik. Jangan bagi alasan untuk melarikan diri atau membentuk mentaliti, “Dia nak jumpa aku kenapa aku nak cari dia….” Jumpa dan dengar apa yang dikatakan. Ambil ia sebagai peringatan untuk kita tidak mengulangi lagi.

12. Jika hadir ke majlis yang dianjurkan dan ingin mendapatkan email dan nombor telefon pengajur. Cari ruang selesa untuk penganjur. Jangan ketika awal-awal program dan mereka sedang sibuk, kita menerjah mereka meminta itu dan ini. Keadaan lebih buruk jika kita meminta (baca ‘mengarahkan’) mereka menghantar maklumat program ke email kita. Minta dalam keadaan yang sesuai atau hubungi sehari selepas program melalui email atau telefon.

2 Komen »

  1. pakteh said

    Terima kasih dengan tip-tip yang diberikan.

  2. “SELAMAT MENYAMBUT HARIRAYA ADILFITRI 2007” DAN ADALAH SAYA JUGA SEORANG WARTAWAN BEBAS DI SABAH,HUBUNGI SAYA MELALUI EMAIL DAN ALAMAT DIATAS.

    D/A PEJABAT PEGAWAI PERHUBUNGAN NEGERI SABAH DAN WP.LABUAN,PERSATUAN WARTAWAN MELAYU MALAYSIA (PWMM),LOT NO:117,TINGKAT SATU,WISMA SABAH,88100 KOTA KINABALU.
    FAKS: 088-263910 / HP : 014-6531584.

    SAYA CADANGKAN KITA BENTUK SATU PERSATUAN WARTAWAN BEBAS MALAYSIA DISELURUH NEGARA

RSS feed for comments on this post · TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan kepada Sulaiman Bin Kilo@Saripudin Kadir Batal balasan