Botox cepatkan muka kerepot

Botox cepatkan muka kerepot
Oleh Zainal Zawawi Mohamed
zzawawi@hmetro.com.my
Metro 26 November 2005

KUALA LUMPUR: Golongan `VVIP’ termasuk artis yang melakukan suntikan botox ketika menerima rawatan di pusat kecantikan menghadapi risiko kulit muka menjadi kerepot lebih cepat kerana bahan itu mengandungi racun jenis Botolinium.

Tanda-tanda awal seseorang yang mengambil suntikan botox ialah kulit muka mereka mengelupas dan proses itu berlanjutan sehingga muka menjadi kerepot.

Setakat ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima lebih 10 kes mangsa menderita kesan sampingan suntikan botox termasuk kulit muka berkerepot.

Setiausaha Agung PPIM, Datuk Dr Maamor Osman, berkata suntikan botox juga menyebabkan seseorang itu menghidap kancing gigi’.

Katanya, alat komestik kecantikan yang menjadi kegemaran pengguna untuk kelihatan lebih muda juga dipercayai palsu dan dihasilkan oleh `pihak tertentu’ yang semata-mata untuk mengaut keuntungan lumayan.

“Dalam jangka masa panjang, kulit muka mereka yang mengambil suntikan botox akan mengerepot akibat kesan sampingan cecair maut itu.

“Kandungan cecair botox itu juga dipercayai mengandungi racun yang boleh memudaratkan pengguna selepas mendapat suntikan berkenaan,” katanya kepada Harian Metro, di sini semalam.

Setakat ini lebih 10 mangsa suntikan botox mengadu kepadanya untuk mendapat nasihat dan rawatan bagi menyembuh kesakitan akibat daripada tindakan itu.

Bagaimanapun, katanya, mangsa suntikan botox perlu menjalani rawatan pemulihan secepat mungkin menggunakan khidmat doktor pakar kerana ia boleh membawa maut selepas mengalami kekedutan.

Dr Maamor menasihati orang ramai supaya tidak mendapat rawatan kecantikan dengan menyuntik botox di muka sesuka hati tetapi perlu mengamalkan cara hidup yang sihat.

Menurutnya, pengguna perlu mengekalkan bentuk wajah yang asli jika ingin menambahkan kecantikan selain mengambil pemakanan seimbang.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, PPIM mengesan lebih 50 pusat rawatan kecantikan di Lembah Klang mengelirukan orang ramai dengan menggunakan gelaran ‘doktor’ dan ‘profesor’ yang dipercayai palsu.

Kebanyakan premis itu mempamerkan gambar beberapa pelanggan yang kononnya mengikuti rawatan kecantikan sebagai modal untuk meyakinkan orang ramai.

Kewujudan pusat rawatan kecantikan yang tidak diiktiraf itu tumbuh bagai cendawan selepas hujan berikutan ketiadaan akta yang mengawal dan mengenakan tindakan terhadap pemiliknya.

Hasil pemantauan PPIM mendapati, pusat rawatan kecantikan itu didapati menggunakan gelaran `doktor’ dan `profesor’ yang dipercayai palsu.

Tinggalkan komen